HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Februari 2015

Anugerahnya…jatuh kepada…

Oleh Nila Kanna

Budaya boikot sudah sebati sehingga kalau buat Malam Anugerah Boikot (MAB), pasti banyak pencalonan yang akan diterima.


boycott



Saban hari saya bersama beberapa orang rakan sempat meluangkan masa di sebuah kafe selepas hampir sebulan atau lebih tidak bersua. Semuanya, enam orang daripada kami, empat berlatarkan profession media.

Topik pada petang itu bertitik-tolak apabila dua orang rakan menolak cadangan bertemu di sebuah kedai mamak di Shah Alam. Alasannya, kerana mereka sudah lama ‘boikot’ kedai mamak.

Boikot? Ya, daripada situ, kami banyak bercakap tentang isu-isu boikot yang semakin mendapat mendapat tempat dalam budaya masyarakat kita.

Boikot hangat semasa ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyaran pengguna memboikot peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barangan.

Kembali kepada pertemuan saban hari, seorang rakan menyatakan jika Malaysia menganjurkan anugerah boikot yang paling berjaya, anugerah itu mungkin jatuh pada rangkaian makanan restoran segera yang selalu dikaitkan dengan negara Israel dan rejim Zionis, jenama berwajah badut.

“Itu boikot yang paling gah!,” teruja sungguh rakan saya.

Terus bercakap, boikot pada restoran itu dilihat paling aktif tatkala tanah Palestine diserang rejim Zionis Israel. Boikot bermusim ini sangat aggresif sehingga keadaan kembali redha dan kita boleh melihat orang ramai seperti biasa menjamu di restoran, kafe kopi atau membeli barangan yang selama ini diboikot.

“Bagaimana pula dengan boikot paling popular tempatan?”

Diteliti pada blog, laman-laman web milik badan bukan kerjaan, laman web parti politik berhaluan kanan, saya percaya anugerah ‘boikot paling popular’ tempatan jatuh kepada sebuah rangkaian restoran makanan tempatan berkonsep kopitiam yang berasal dari Ipoh.

Rata-rata ia mempunyai ‘pengikut’ boikot yang agak banyak atas beberapa sebab. Antaranya kerana dimiliki parti pembangkang yang juga musuh ketat parti berhaluan kanan, didominasi satu bangsa dan alasan paling kliche, harga makanan.

Anugerah ‘silap boikot’ pun ada.

Syarikat yang menjadi mangsa apabila mereka yang tidak berkaitan turut diheret dalam isu boikot.
Misalnya sebuah lagi rangkaian restoran makanan segera yang bertapak sejak tahun 1970an lagi, berimejkan seorang lelaki tua dalam penjenamaan dan makanan berasaskan ayam sepenuhnya.

Fakta sebenar kisah syarikat itu hanya menggunakan jenama dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada syarikat induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama dan ditekankan ia syarikat hak milik Malaysia.

“Hmm… kesian kan? Tak pasal-pasal, mereka pun kena, anugerah ‘silap boikot’,” perli seorang lagi rakan.

Saya juga pernah terbaca dan terdengar keluhan bahawa ada juga pasar raya hiper dan perniagaan yang didominasi bangsa tertentu memboikot barangan Bumiputera. “Bayangkan, saya masuk bahagian rak-rak jual minyak masak dan saya tak dapat jumpa satu pun jenama minyak masak jenama milik Melayu!” kata seorang wanita, respon kepada isu itu dalam sebuah blog.
Itu anugerah ‘boikot rasis’! Boleh?

Tidak ketinggalan calon-calon lain yang terdiri daripada perniagaan jualan langsung, jenama produk penjagaan badan, laman-laman sosial, syarikat perisian dan banyak lagi.

Sambil ketawa besar, seorang rakan bertanya, “Bagaimana dengan akhbar dan stesen televisyen kami? Itu pun kena boikot. Jualan akhbar jatuh merundum, pasal stesen tv swasta, saya tak pasti,” katanya sambil menunjukkan pas syarikatnya yang tertera tulisatn berwarna biru tua. Anugerah ‘boikot maklumat’ ke?

“Eh, kamu belum beritahu kenapa boikot kedai mamak,” saya bertanya kepada rakan-rakan yang mencetuskan isu boikot ini.

Pagi tadi, saya terbaca lagi berita boikot air mineral 500ml yang dijual lebih RM1.

*Boikot bermaksud keengganan berurus, biasanya utk menyatakan rasa tidak bersetuju atau memaksa individu atau institusi yg berkenaan menerima syarat tertentu.

Nila Kanna ialah pembaca FMT dan bekas wartawan.

Tiada ulasan: