Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Raja Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan
tindakan menyertai kumpulan Militan Negara Islam (IS) untuk berjihad
bukan tindakan yang diajar dalam Islam malahan ia juga bukan 'jalan
singkat' untuk memasuki syurga.
Ini kerana jelas beliau, gerakan berkenaan tidak berperikemanusiaan selain membunuh dengan kejam setiap mangsanya.
Selain itu tambah Siti Mariah, tindakan itu bukan saja bertentangan
dengan Islam tetapi boleh menimbulkan keresahan dunia serta merosakkan
imej suci agama tersebut.
"Ini adalah masalah politik, jadi bagi saya ulama-ulama negara kita
termasuk dari PAS, Umno, Majlis Fatwa dan banyak lagi dah mengatakan ini
bukan jihad dalam erti kata yang dimaksudkan oleh agama kita.
"Pembunuhan sesama Islam dan sebagainya, ia disebabkan politik antara kuasa Timur Tengah, Amerika dan sebagainya.
"Ia mengenai minyak, mengenai pimpinan-pimpinan Timur Tengah," katanya kepada Antarapos.
Kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat ini, mereka yang terlibat
dengan kegiatan IS menganggap ia jalan singkat menebus kesalahan dengan
mati syahid dengan harapan dapat memasuki syurga.
"Jadi bagi saya kejahilan kita tentang situasi politik menyebabkan orang muda kita yang memang berkobar-kobar untuk berjihad.
"Mungkin jalan singkat nak ke syurga tanpa mengetahui latarbelakang
sebenar, terus terpujuk dan kemudian pergi ke sana bunuh-membunuh sesama
Islam," katanya.
Terbaru seorang gadis berusia 14 tahun yang merancang untuk ke Syria
melalui Mesir bagi menyertai aktiviti militan IS namun tidak kesampaian
apabila ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA).
Gadis tersebut dikatakan merancang untuk ke Syria seorang diri selepas
terpengaruh dengan laman Facebook yang mempromosi, merekrut dan membuat
naik propaganda IS bagi mempengaruhi rakyat Malaysia untuk berjihad di
negara berkenaan.
Setakat ini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di
Syria menyertai kumpulan militan manakala 24 individu lagi ditahan
selepas dipercayai terbabit dengan gerakan berkenaan.
Sejak polis mengesan pembabitan rakyat negara ini dalam perjuangan
militan di Syria, lima rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dan enam
cedera.
Kekang penularan militan habis-habisan
Menurut Siti Mariah, kerajaan serta agensi berkaitan perlu mengekang
penularan fahaman IS ini selaras dengan penetapan Majlis Fatwa
Kebangsaan yang menetapkan bahawa IS adalah pertubuhan yang menyeleweng.
"Bagi saya mudah sahaja, tumpu perkara utama...saya rasa ulama kita dalam hal ini sangat tegas.
"Siapa yang bangkitkan perkara ini sebagai jihad? Jadi kepala-kepala
yang pergi ceramah dengan mengatakan perkara ini adalah jihad dan
seumpamanya kena cekup mereka ini dululah," katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengambil langkah drastik untuk
membersihkan negara daripada fahaman serta kumpulan yang menjurus kepada
militan dan berideologi yang terarah kepada keganasan.
"Maknanya dengan mengatakan perkara itu sesuatu yang baik memang memberikan sesuatu yang tak betul.
"Mereka terpekik membawa sesuatu perkara iaitu kepercayaan politik mereka, mereka menyokong pihak mana dan sebagainya.
"Seterusnya mereka beri kepada anak-anak muda yang tak berapa faham politik Timur Tengah dan politik dunia," katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak terpengaruh dan menyertai mana-mana kumpulan berbentuk ekstremis ini.
"Jadi kita kena cari punca maklumat itu, sudah tentu sekarang ada media sosial.
"Jadi saya fikir kerajaan dan semua yang bertanggungjawab perlu
menjelaskan kepada mereka dengan cara yang mudah perkembangan politik
dunia dan apa yang berlaku di Timur Tengah," katanya.
Siti Mariah menambah, ancaman-ancaman yang wujud ini menuntut kerajaan
serta pihak berkuasa melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan
bagi mengekang fahaman itu yang kini mudah diperoleh di laman sosial.
"Semua itu ada di Internet tapi mereka ini tidak baca yang
panjang-panjang cuma ambil apa yang orang kata di media sosial,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan