Oleh Shuhaniza Said
BATU CAVES: Perbalahan antara dua parti komponen Pakatan Rakyat iaitu
PAS dan DAP tidak perlu dibincangkan secara terbuka melalui media, kata
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Menurut Azmin, sebarang pertikaian atau perbezaan pendapat perlu
diselesaikan menerusi perbincangan empat mata antara ketiga-parti dalam
komponen berkenaan.
"Perkara-perkara seperti ini tidak perlu dibincangkan secara terbuka..
Semangat pakatan rakyat kita berbincang dalam mesyuarat dan ambil kata
putus berdasarkan konsensus dan muafakat.
"Itu yang penting kerana kekuatan pakatan rakyat ialah berdasarkan
konsensus.. Tak perlu kita bincang secara terbuka dalam media, apatah
lagi media yang dikuasai parti pemerintah," katanya dalam sidang media
selepas menghadiri Majlis Sambutan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor
2015, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan DAP yang kerap
kali menyerang PAS sejak kebelakangan ini ekoran tindakan parti Islam
itu yang tidak bersetuju dengan cadangan melaksanakan Pilihan Raya Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) yang diperjuangkan parti itu.
Terbaru, perang mulut antara kedua parti berkenaan dilihat semakin
apabila PAS pada Isnin memberi amaran agar DAP tidak bertindak melampaui
batas sehingga mahu mencampuri urusan pentadbiran kerajaan pimpinan
mereka dengan kritikan tidak beradab.
Amaran tersebut disuarakan oleh Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama
PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad yang meminta DAP menjaga adab dalam
membuat teguran jika masih mahu meneruskan tahaluf siyasi bersama dengan
PAS.
Ujar Mahfodz lagi, sekiranya DAP berterusan bersikap sedemikian, tidak
mustahil kepemimpinan tertinggi PAS melalui Majlis Syura Ulama akan
membuat ketetapan untuk mengkaji semula kedudukan dalam pakatan
pembangkang.
Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Azmin memaklumkan isu yang
menjadi pertikaian antara kedua-dua parti berkenaan akan dibincangkan
dalam masa terdekat, namun beliau masih tidak mendapat sebarang makluman
mengenai tarikh mesyuarat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan