HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Februari 2015

Presiden PAS tidak tunduk

FREE MALAYSIA TODAY

Pilihan raya PBT kehendak DAP, DAP hendaklah faham pilihan raya itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan


Abdul Hadi Awang_pas_300


PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mustahil untuk dilaksanakan berikutan beberapa aspek termasuk daripada segi struktur masyarakat negara ini.

Ketika berucap merasmikan program anjuran parti itu di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, di Kuala Terengganu, malam tadi, beliau mengingatkan DAP agar memahami pilihan raya itu tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan, lapor Utusan Online.

“Apabila timbulnya polemik perdebatan antara Setiausaha Agung (Datuk Mustapa Ali) dengan DAP berkait pilihan raya PBT, kita ada pendirian dalam masalah ini. Kita kena sedar PBT ada kaitan dengan Kerajaan Pusat dan ada kementerian. Kita tidak boleh langgar begitu sahaja selagi kita tidak dapat menguasai Kerajaan Pusat. Kita kuasai dulu Kerajaan Pusat,” ujarnya.

Abdul Hadi baru-baru ini melahirkan kebimbangan pilihan raya PBT mampu mencetuskan suasana tidak stabil dan melebarkan jurang masyarakat sekali gus menjadi ‘api dalam sekam’ untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang disifatkan sebagai titik hitam dalam sejarah negara.

Kenyataannya mengejutkan DAP dan Rabu lalu, Mustafa pula melepaskan geram dengan mencabar Lim Guan Eng bersemuka berikutan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bahawa beliau tidak jujur berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT.

Mustafa yang menyifatkan Guan Eng sebagai seorang bermulut celupar menegaskan, Setiausaha Agung DAP itu ada menghubunginya berkenaan hasrat parti tersebut untuk melaksanakan pilihan raya PBT namun dibuat selepas beberapa hari cadangan berkaitan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS sebagai parti Islam amat menekankan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam memastikan pengurusan bandar berjalan lancar dan adil.

“PAS menerima hakikat wujud masyarakat majmuk di Malaysia. Menerima orang Cina dan India yang dipaksa penjajah datang ke sini. Kita terima hakikat ini dengan cara menyelesaikan masalah dan pada kita cara itu adalah menerusi ajaran Islam yang adil termasuk dalam hal politik.

“Adil dalam masalah politik itu turut membabitkan pengurusan bandar, maka untuk menguruskan bandar tak boleh melibatkan orang bandar sahaja, pilihan raya yang dicadangkan itu, orang bandar yang mengundi padahal yang menghidupkan bandar bukan goloongan itu tetapi termasuklah petani, nelayan dan semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: