HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Mac 2015

Aktivis PKR mogok lapar di luar penjara sokong Anwar

MALAYSIAKINI

 
 
Di bawah panas terik, lima aktivis PKR merenung melepasi pagar berduri di mana pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dipenjarakan.
 
Para aktivis akar umbi parti itu mengadakan mogok lapar sebagai tanda sokongan kepada ketua pembangkang itu, serta membawa kain rentang Mahatma Gandhi.
 
Mereka memulakan mogok lapar pada jam 8 pagi ini, bertempat di tempat perhentian bas di seberang jalan dari penjara.
 
Seorang daripadanya, K Gunasekaran berkata mereka bimbang dengan kesihatan Anwar yang memerlukan perhatian perubatan.
 
"Kami berharap beliau boleh sekurang-kurangnya dirawat di Hospital Sungai Buloh," katanya.
 
Anwar telah dipindahkan ke sayap hospital penjara Sungai Buloh ekoran sakit belakangnya yang berlarutan.
 
Gunasekaran berharap mogok lapar selama 48 jam itu, sekurang-kurangnya akan dapat meningkatkan perhatian kepada keperluan ketua pembangkang itu.
 
Anwar menjalani hukuman penjara mulai 10 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya berhubung sabitannya terhadap tuduhan kes liwat.

Beliau sedang menjalani hukuman penjara lima tahun, tetapi menegaskan bahawa tuduhan liwat itu bermotifkan politik.
 
Gunasekaran berkata mogok lapar itu juga untuk melobi kerajaan supaya membenarkan Anwar menghadiri Parlimen atas sifatnya sebagai ketua pembangkang.
 
"Kami juga berharap Yang di-Pertuan Agong boleh mempercepatkan permohonan Anwar untuk mendapat pengampunan," katanya.
 
Kira-kira 20 lagi penyokong PKR turut berkumpul di luar penjara sebagai tanda sokongan kepada aktivis yang mengadakan mogok lapar itu.
 
Empat lagi yang mengadakan mogok lapar hari ini ialah R Chandran, N Sivashankari, R Krishnan dan K Jeganathan.
 
 

Tiada ulasan: