HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Mac 2015

Beri semula subsidi bukan jalan terbaik


minyak naik
 
 
 
SHAH ALAM – Kembalikan subsidi bahan api bukan cara bijak dalam menangani isu turun naik harga sebaliknya formula berkesan wajar digantikan untuk mengikat harga tersebut sebagai tindakan situasi menang menang buat rakyat dan pemerintah.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, isu turun naik harga minyak ini akan sentiasa panas terutama setiap kali berlaku peningkatan harga seperti yang berlaku, Ahad lalu.

Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan perlu mencari jalan demi menjaga kebajikan rakyat.

“Kesan kepada politik akibat turun naik harga itu tidak bagus kerana isu ini akan sentiasa panas. Kalau harga minyak turun, orang akan bersyukur tapi kalau harga itu naik, orang akan panaskan kembali. Sudah menjadi kebiasaan di Malaysia, kalau minyak naik, harga barang pun akan naik. Jadi, ini tidak bagus kepada politik kita.

“Pemerintah perlu mencari jalan terbaik dan kalau mengikat harga petrol itu jalan terbaik, maka pemerintah perlu lakukan itu demi menjaga kebajikan rakyat. Kerajaan harus terus mencari cara terbaik,” katanya kepada Sinar Online.

Minggu lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga petrol RON95, RON97 dan diesel mengalami peningkatan sebanyak 25 sen seliter mulai 1 Mac 2015.

Mengulas lanjut, beliau berkata, apa yang berlaku sekarang membuat rakyat membuka mata tujuan utama kerajaan memberi subsidi ke atas bahan api selama ini.

“Jadi, kerajaan perlu cari cara sama ada mengikat harga atau mengekalkan subsidi pada satu tahap harga yang boleh untuk jangka panjang. Sekurang-kurangnya rakyat sudah faham kenapa kerajaan bagi subsidi dulu. kita harap apungan harga ini sementara.

“Mengikat harga itu maksudnya harga yang ditetapkan nanti tidak membebankan rakyat dan kerajaan sangat serta mengambil kira naik turun harga minyak di peringkat global. Formula itu kerajaan perlu cari,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa tindakan mengembalikan subsidi bukan cara terbaik untuk memulihkan keadaan ini.

“Subsidi bukan lagi cara terbaik kerana itu hanya beri respons kepada kehendak rakyat...pendekatan popular. Jadi, kalau pemimpin itu hendak popular, boleh kembalikan subsidi sajalah tapi, negara akan menanggung beban yang besar serta merugikan rakyat semula.

"Perlu cari jalan tengah bagaimana mengimbangi kehendak rakyat dengan kehendak pentadbiran negara. Ini memerlukan kajian daripada kerajaan dan memang orang akan melihat berbagai-bagai-bagai tapi fokus politik adalah mengekalkan kestabilan.

“Jadi, harga juga kena stabil. Bagaimana mahu menstabilkan harga? BN kena fikirlah. Sekarang ini cara apungan harga ini akan sentiasa menjadi gangguan kepada kestabilan politik dan ini tidak baik,” katanya.

Sementara, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat, turun naik harga minyak yang terpaksa didepani rakyat setiap bulan itu lumrah sekiranya negara menggunakan sistem apungan harga.

“Untuk jangka masa panjang tidak memberi subsidi minyak itu baik untuk negara walaupun kita tak dapat mengelak berdepan dengan bulan ini turun bulan depan naik. Itu lumrah kalau kita nak ikut sistem itu.

“Kita harus bersedia dengan turun naik itu. Kalau turun memang semua orang gembira tapi naik memang orang merungut,” katanya.

Tiada ulasan: