THE RAKYAT POS
Dr Maza meluahkan rasa dukacita, apabila pihak berkenaan membuat sidang media dan mencabar bukti.
KUALA LUMPUR - Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr Mohd
Asri Zainul Abidin menjelaskan, tiada siapa ingin memalukan sesiapa,
tetapi ia adalah hak penganjur untuk menentukan pemilihan panel, khusus
untuk program membabitkan keberangkatan pihak Istana dan kehadiran mufti
negeri.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr.
Maza menegaskan, surat tersebut adalah surat dalaman pentadbiran yang
khusus untuk pihak dalaman berkaitan sahaja.
“Isu-isu riwayat palsu, termasuk isu
roti jala telah timbul sejak tahun lepas. Banyak pandangan, terutama
mereka yang terbabit dalam bidang hadis telah dilontarkan mengenai
isi-isi ceramah pihak berkenaan.
“Maka, dalam pemilihan panel forum pihak
jabatan, setelah berbincang melihat tidak sesuai untuk program itu,
bukan mengeluarkan fatwa khas menghukum dan melarang sepenuhnya pihak
terbabit,” katanya yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.
Mohd
Asri berkata, pihaknya telah menyampaikan salam kepada pihak berkenaan,
melalui wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Zakaria
yang merupakan pengerusi forum, sejak isu berkaitan roti jala timbul.
“Saya telah tegaskan, tiada isu peribadi
dan bukan larangan mutlak. Pihak saya juga semalam mengelakkan sidang
media dan enggan menjawab soalan wartawan tentang isu ini, untuk tidak
mengeruhkan keadaan.
“Pihak saya dukacita, apabila pihak
berkenaan membuat sidang media dan mencabar bukti. Bukan tiada bukti,
tapi elokkah cabar-mencabar di media, sedangkan laluan perbincangan
terbuka?
“Jika surat itu ditujukan kepada awam,
mungkin boleh diterima rasional cabaran itu, tapi hal ini, hanya urusan
pentadbiran dan bukan larangan mutlak,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai contoh ‘roti
jala’, Mohd Asri memberitahu, alangkah baiknya jika pihak berkenaan
membetulkan hal itu, kerana jika tidak dibetulkan, ia boleh membawa
anggapan ‘sunnah Nabi S.A.W. makan roti jala’.
“Adapun hentaman terbuka pihak berkenaan
terhadap Tok Guru Nik Aziz (TGNA) rahimahullah dalam banyak video juga
adalah salah dari segi fakta. Pendapat TGNA tentang Allah memilih Nabi
S.A.W dari kalangan hambaNya yang didapati terbaik itu ada dalil yang
sahih.
“Sementara hujah pihak berkenaan menolak
TGNA atas alasan Nabi Muhammad lahir dalam keadaan sujud, berkhatan dan
menyebut Alhamdulillah, riwayat-riwayat itu banyak pertikaiannya. Itu
juga wajar diperbetulkan, jangan sampai orang menganggap pendapat TGNA
dalam hal itu salah. Ketepikan isu politik dalam hal ini,” katanya.
Tambahnya, alangkah baiknya, jika pihak
berkenaan hentikan perbalahan di media massa, kerana itu mendesak
pihaknya yang terbabit dengan pentadbiran sebuah negeri menjawab secara
terbuka.
“Alangkah baik, jika pada hari pertama
surat itu diviralkan, pihak berkenaan tidak siarkannya dalam FB,
sebaliknya hubungi saya dan tanya terlebih dahulu.
“Apapun, atas dasar ukhuwah dan dakwah,
pintu pejabat dan jantung hati saya sentiasa terbuka untuk berbincang
serta ‘minum dan tersenyum’,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan