Himpunan Kebangkitan Rakyat Anggota polis berkawal untuk memastikan peserta perhimpunan tidak memasuki Dataran Merdeka. - Foto Bernama
 
 
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bertambah kompleks dan sukar, mengikut masa.

"Seringkali kita melihat anggota-anggota polis berdepan dengan risiko yang tinggi dan sedia menggadaikan nyawa hanya untuk memastikan masyarakat kita kekal aman dan harmoni," katanya dalam catatan terbarunya di blognya, semalam.

Ini menurutnya, termasuk daripada peristiwa Bukit Kepong pada 1950 ke pemberontakan komunis pada 60an ke peristiwa Memali pada 80an, dan baru-baru ini pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

"Segala usaha, peluh dan darah yang tumpah itu tidak akan hilang dari ingatan kita seumur hidup ini," katanya.

Namun begitu, Najib menarik perhatian jarang beliau mendengar ucapan terima kasih diucapkan rakyat kepada wira-wira negara ini yang menurutnya menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah tanpa mempedulikan sebarang risiko, tohmahan, fitnah dan tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada mereka.

"Hari ini, saya mengajak semua untuk berdoa agar roh mereka yang terkorban ketika bertugas dicucuri rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada anggota-anggota PDRM dan keluarga yang banyak berjasa kepada Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, tiada sesiapa yang dapat menafikan bahawa elemen-elemen keganasan yang mula kelihatan di negara-negara asing dapat dicegah melalui perisikan dan penguat kuasaan undang-undang agar tidak berlaku di Malaysia dan menambah kepada sejarah yang sedia ada.

"Saya yakin bahawa pelaksanaan Akta Pencegahan Keganasan nanti amat penting kepada PDRM dalam usaha mereka menangani elemen-elemen tersebut demi keselamatan negara kita," katanya.

Di samping itu, tambah Najib, kerajaan juga akan mengekalkan dan memperkukuhkan Akta Hasutan bagi memastikan keharmonian antara agama dan kaum di negara ini terjamin. - Bernama