Deloitte juga menyatakan bahawa mereka telah berpuas hati dengan akaun 1MDB itu dan bersetuju memperakuinya.
KOTA BAHARU: Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata serangan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) didorong pihak tertentu yang mempunyai agenda kepentingan politik.
Beliau berkata serangan, spekulasi dan khabar angin yang sedang berlaku itu bukan hanya memberi kesan negatif kepada 1MDB, malah juga kepada sentimen para pelabur asing.
“Sebarang serangan terhadap 1MDB merupakan satu bentuk serangan ke atas negara juga dan mereka seharusnya bertanggungjawab bagi setiap tuduhan palsu dan fitnah terhadap 1MDB,” katanya, lapor Bernama.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Deloitte, salah sebuah syarikat perakaunan ternama telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri semalam bahawa disebabkan dakwaan tidak berasas itu, mereka telah menjalankan pengauditan lebih terperinci (extra scrutiny) bagi akaun 1MDB.
“Ini termasuk membawa masuk pakar-pakar forensik untuk memeriksa dokumen yang berkaitan. Deloitte juga menyatakan bahawa mereka telah berpuas hati dengan akaun 1MDB itu dan bersetuju memperakuinya,” katanya.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun 1MDB dan laporan Ketua Audit Negara itu akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kiranWang Negara (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan