HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Mac 2015

Isu Roti Jala Kuah Kari: Kazim Risau Tidak Dijemput Berceramah Lagi...

KELAB GREENBOC



 
Dr Asri gopoh dan memalukan, kata Kazim

Penceramah popular Datuk Kazim Elias menyelar kembali Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menolaknya sebagai penceramah susulan kenyataannya tentang hadis "roti jala dicelup kuah kari”.

Malah, Kazim menyifatkan keputusan Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju pemilihannya sebagai ahli panel forum perdana sempena keputeraan Raja Perlis sebagai tindakan gopoh dan memalukan.

Ini kerana, Kazim berkata, dakwaan itu tidak sewajarnya dilakukan oleh Asri sebagai mufti dan dibuat tanpa peluang memberikan penjelasan, lapor Utusan Malaysia.

“Saya dimaklumkan mengenai pembatalan jemputan saya ke majlis berkenaan dua minggu lalu, namun saya tidak mahu menghebahkan perkara ini demi menjaga air muka mereka yang berkaitan.

“Namun, apabila berlaku penyebaran surat tersebut, saya kesal kerana ini tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan.

“Selepas ini mungkin ada yang melabelkan saya penyebar hadis palsu dan tidak lagi dijemput untuk mengadakan ceramah," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar Umno itu.

'Hanya perbandingan'

Sementara itu, Kazim juga menjelaskan kenyataan berkaitan hadis "roti jala dicelup kuah kari" dan “kurma celup tepung” yang disampaikannya hanya perbandingan.

Menurut Kazim, perbandingan itu dibuat kerana di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham," Kazim dipetik sebagai berkata dalam akhbar Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Kazim melahirkan rasa kesal apabila surat daripada Jabatan Mufti Perlis menyebut beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.

Katanya, ia seolah-olah menggambarkan beliau sering terlibat dengan penyebaran hadis yang salah.

"Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa.

"Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya lagi seperti dilapor akhbar itu. -mk


Dr Asri akan beri bukti riwayat palsu Ustaz Kazim

PETALING JAYA : Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa beliau akan memberikan bukti berkenaan riwayat palsu yang diminta oleh pendakwah bebas yang terkenal dengan program popular ‘Kalau Dah Jodoh’, Datuk Mohamad Kazim Elias.

Beliau berkata, kes itu sepatutnya berhenti setelah penjelasan berkenaan tujuan surat dalaman rasmi berkenaan.

“Namun, nampaknya tokoh berkenaan (Mohamad Kazim) terus mencabar meminta bukti walaupun bukti-bukti telah diberikan oleh pelbagai pihak.

“Bagi memenuhi hasrat beliau, In Sha Allah FB (Facebook) ini dalam masa terdekat akan memberikan bukti-bukti yang beliau minta itu,” tulisnya dalam Facebook rasmi milik beliau, DrMAZA.com hari ini.

Isu tercetus apabila sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis tersebar di laman-laman sosial yang menyatakan tidak bersetuju Mohd Kazim menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Dalam surat tersebut, Jabatan Mufti Perlis memberikan sebab kerana Mohamad Kazim ‘sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu’.

‘Riwayat’ atau hadis palsu dimaksudkan dalam surat Jabatan Mufti Perlis adalah mengenai rakaman YouTube sedutan daripada satu ceramah Mohamad Kazim yang menyatakan ‘kenduri Rasululluah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari’.

Mohamad Kazim berkata, dalam ceramahnya beliau hanya mengatakan perbandingan bahawa di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari juga masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham.

“Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa. Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya.


Tiada ulasan: