MALAYSIAKINI
Yayasan Persatuan Pengguna Telefon Bimbit Malaysia (PERBIT) berharap
syarikat telekomunikasi (Telco) tidak mengenakan Cukai Barangan dan
Perkhidmatan (GST) terhadap pembelian kad tambah nilai dan pek permulaan
bagi pengguna perkhidmatan prabayar.
Pengerusinya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata CBP sebanyak enam
peratus yang akan dilaksanakan 1 April ini dilihat akan membebankan
golongan berpendapatan rendah dan pelajar yang menggunakan telefon
bimbit prabayar.
"Lebih 80 peratus pengguna perkhidmatan prabayar terdiri daripada
golongan berpendapatan rendah serta pelajar sekolah dan penuntut di
Institut Pengajian Tinggi.
"Penambahan cukai CBP ini sudah sudah pasti akan membebankan mereka," katanya kepada Bernama semalam.
Justeru, katanya persatuan itu telah menghantar surat bantahan kepada
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia (SKMM) dalam usaha mendapatkan sokongan pengecualian CBP
terhadap produk tambah nilai dan pek permulaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad berkata pihaknya akan mengkaji
dakwaan berhubung caj tersembunyi yang dikenakan oleh syarikat telco
terhadap mel suara, panggilan yang tidak disambung, mel remeh dan
sebagainya.
Menurutnya pihaknya telah menerima lebih 18,000 aduan dalam tempoh
setahun daripada pengguna telefon bimbit mengenai perkhidmatan yang
ditawarkan oleh telco dan kebanyakannya berkaitan dengan masalah caj
tersembunyi.
"Sebelum ini kita pernah buat kajian dan mendapati lebih daripada 60
peratus kos atau caj yang dibayar oleh pengguna adalah daripada kos
tersembunyi seperti mel suara, panggilan yang tidak disambung dan mel
remeh dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata hasil kajian itu akan diserahkan kepada KKMM dan SKMM
untuk dibincangan dengan syarikat telco bagi mencari jalan penyelesaian.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan