Seorang pemimpin Pemuda PKR (AMK) ditahan polis, dipercayai berkaitan perhimpunan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim anjuran 'Kita Lawan” di Kuala Lumpur hari ini.
Saifullah Zulkifli, ketua AMK Kelana Jaya, itu dibawa ke Balai Polis Jinjang, menurut maklumat daripada pihak komunikasi PKR.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu Malaysiakini, Saifullah ditahan di Masjid Jamek di ibu negara kira-kira jam 7.45 petang tadi.
Tiada maklumat lanjut berhubung penangkapannya setakat ini.
Sekurang-kurangnya 10,000 orang hadir dalam perhimpunan di ibu negara bagi menyatakan setiakawan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara di Sungai Buloh atas kesalahan meliwat.
Anwar dan penyokongnya bagaimanapun menolak sabitan kes itu atas alasan beliau menjadi mangsa konspirasi.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, exco kerajaan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad berkata beliau dipanggil ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di ibu kota esok.
“Saya maklum akan hadir esok 10 pagi dengan peguam,” tulisnya di Twitter sebentar tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan