Sarawak akan terus berunding dengan Petronas untuk mendapatkan royalti lebih tinggi bagi minyak dan gasnya, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem hari ini.
Menurut Adenan, beliau akan terus memperjuangkan perkara itu sehingga mendapat respons positif daripada Petronas memandangkan minyak dan gas berkenaan diperoleh dari perairan di luar pantai Sarawak.
"Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pihak lain.
Mereka bersikap terbuka tentang idea ini. "Bagaimanapun, Najib minta saya menunggu dahulu berikutan kejatuhan harga minyak di pasaran dunia sekarang," katanya pada majlis makan tengah yang diadakan bagi meraikan ulang tahun pertama beliau menjadi ketua menteri.
Beliau berkata setakat ini Sarawak mencapai beberapa kejayaan, termasuk persetujuan Petronas baru-baru ini untuk memberi kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada firma tempatan.
"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Kita tidak boleh menjadi penonton sahaja, kita kena jadi peserta," kata beliau.
Mengenai tahun pertama beliau menyandang jawatan ketua menteri, Adenan berkata tanggungjawab yang beliau pikul sangat berat dan mencabar.
"Bagaimanapun, saya bertuah kerana mempunyai barisan menteri, menteri muda dan penjawat awam yang dedikasi serta berpengalaman, yang sentiasa membantu saya.
Secara berjenaka, Adenan berkata beliau mengambil masa untuk menerima hakikat bahawa beliau adalah ketua menteri.
"Saya menyedari bahawa saya adalah ketua menteri apabila kini, semua isu besar dirujuk kepada saya untuk dibuat keputusan dan saya tidak boleh lagi menyerahkannya kepada orang lain," kata beliau. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan