Sekolah wajib ada 'pak guard' Chee Heng menyampaikan bantuan beg sekolah kepada wakil guru di Sekolah Rendah Agama Jenjarum, semalam.
 
 
 
JENJARUM - Insiden beberapa sekolah yang dipecah masuk akibat tidak mempunyai pengawal keselamatan perlu diberi perhatian dalam usaha mencegah kejadian sama berulang.

Adun Telok Datok, Loh Chee Heng berkata, beliau menerima aduan terdapat sekolah yang tidak mempunyai dana untuk mengupah pengawal keselamatan sehingga menyebabkan keadaan itu berleluasa.

"Difahamkan dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah baru-baru ini, sebuah mesin potong rumput dicuri dan barangan dapur di kantin sekolah juga hilang.

“Jika perlu semua sekolah harus mempunyai pengawal keselamatan bagi membanteras kejadian tidak diingini berlaku,” katanya

Beliau dalam pada itu menggesa agar pihak berkuasa tempatan dan agensi jabatan kerajaan yang terlibat turut membantu mempergiatkan rondaan di kawasan sekeliling sekolah demi menjamin keselamatan komuniti setempat.

Menurutnya, beliau bertindak menyalurkan peruntukan membina sebuah pondok pengawal keselamatan dan juga membeli sebuah mesin pemotong rumput yang baharu kepada pihak sekolah berkenaan.

“Saya tak mahu isu ketiadaan pengawal keselamatan beri impak kepada warga sekolah sehingga mencetuskan aktiviti tidak sihat,” katanya selepas menyampaikan 33 set beg sekolah dan botol air kepada wakil Sekolah Rendah Agama Jenjarom, semalam.

Mengulas mengenai insiden seorang pengawal keselamatan ditetak kelmarin, beliau menganggap kes berkenaan adalah kes terpencil.

"Jenayah boleh berlaku tidak kira waktu bukan sahaja di Kuala Langat, jadi saya minta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian seumpama itu segera melaporkan perkara itu kepada polis.

“Apapun semua pihak perlu berhati-hati tidak kira di mana supaya tidak terlibat dengan aktiviti jenayah,” katanya.