HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Mac 2015

Slot khas TV mengenai usaha kerajaan cari MH370 mulai esok

 THE MALAYSIAN INSIDER


Penerbangan MH370 hilang genap setahun pada 8 Mac nanti, walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi pencarian pesawat yang membawa 239 orang itu. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Mac, 2015.Penerbangan MH370 hilang genap setahun pada 8 Mac nanti, walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi pencarian pesawat yang membawa 239 orang itu. – Gambar fail The Malaysian Insider



.Beberapa slot rancangan khas yang berkisar kepada usaha kerajaan mencari pesawat MH370 yang hilang hampir setahun lepas akan disiarkan di stesen televisyen tempatan bermula esok, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Katanya penyiaran slot rancangan ini adalah hasil perbincangan beliau dengan beberapa penyiar dari Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro.

"Dengan adanya dokumentari mengenai pencarian ini, ia sedikit sebanyak dapat memberi gambaran sebenar tentang peranan kerajaan dalam misi pencarian MH370 ini," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Internet 1Malaysia di Padang Lalang, Ayer Hangat di Pulau Langkawi, hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370, berkata slot rancangan itu melibatkan bual bicara dan dokumentari khas pencarian pesawat Boeing 777 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas. "Pada masa menghampiri 8 Mac ini (tarikh ulang tahun pertama insiden MH370), mungkin banyak spekulasi yang akan timbul berhubung kejadian ini tapi di pihak kerajaan, kita komited untuk meneruskan pencarian pesawat yang hilang ini," katanya.

Pesawat Boeing 777 MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada 29 Januari lepas, kerajaan Malaysia mengisytiharkan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang serta anak kapal dianggap terkorban. – Bernama

Tiada ulasan: