OIC lambat bertindak dalam menangani pelarian hanyut Rohingya
PETALING JAYA: Krisis pelarian Rohingya bukan isu baru yang
dibangkitkan pada Pertubuhan Kerjasama Islam OIC dan sejak beberapa
dekad lalu, ia pernah menjadi agenda utama mesyuaratnya.
Namun, sejak dari awal isu berkenaan dtimbulkan dengan resolusi demi
resolusi, desakan demi desakan, ia tidak memberi sebarang impak ke atas
isu yang dibangkitkan.
Bahkan, nasib pelarian Rohingya lebih buruk apabila mereka tidak lagi
dianggap masyarakat pribumi Myanmar apabila regim tentera memperkenal
Akta Kewarganegaraan 1982.
Meskipun plot penderitaan Rohingya lebih lama daripada itu, namun
pengenalan akta berkenaan menyebabkan mereka dianggap sebagai pendatang.
Rupa bentuk fizikal yang lebih menjurus kepada orang Benggali, memudahkan Regim Yangon mengusir mereka secara terang-terangan.
Agama Islam yang menjadi pegangan, membangkitkan lagi sentimen
kebencian sehinggakan wujud gerakan pelampau di kalangan sami Budha yang
bertanggungjawab melakukan pelbagai keganasan termasuk pembunuhan
secara terbuka ke atas orang Rohingya.
Situasi ini berbeza dengan penindasan yang berlaku situasi di Tebing
Barat dan Gaza, di mana orang Palestin bangkit dengan apa cara
mempertahankan hak khususnya tanah mereka melawan anak kuasa besar
dunia, Israel.
Begitu juga di wilayah Selatan Thailand yang tidak jauh daripada
Rakhine atau dulunya dikenali sebagai Arakan, masyarakat Melayu sejak
lebih 200 tahun tidak pernah mengalah kepada orang Thai yang beragama
Budha untuk mempertahankan hak mereka. Mereka memberi tekanan kepada
Bangkok sama ada dalam bentuk politik dan perjuangan bersenjata.
Sehingga kini, meskipun wujud penindasan ke atas masyarakat Islam di
tiga wilayah berkenaan, tetapi tentangan yang diberikan berjaya
mengekang pengaruh dan penguasaan penuh Budha ke atas mereka.
Di Rakhine, struktur masyaraakat Rohingya amat lemah dalam segala segi sehingga mereka diperlaku seolah-olah tanpa maruah.
Jika dibandingkan dengan etnik lain seperti Karen dan Shan, yang
bangkit dengan gerakan bersenjata menentang kerajaan Myanmar, nasib
etnik itu lebih baik berbanding apa yang dialami orang Rohingya.
Tidak dapat dinafikan, sejarah lalu menjadikan orang Rohingya yang wujud pada hari ini, amat lemah.
Etnik ini mungkin kuat dalam konteks agama dan ketuhanan, tetapi
daripada sudut lain seperti politik, mereka lebih banyak pasrah dan
menyerah.
Kekurangan itu menyebabkan orang Rohingya meletakkan harapan yang
amat tinggi kepada saudara seagama mereka di luar Myanmar untuk
membantu.
Bangladesh, di bawah kepimpinan Shaikh Hasina Mujibur Rahman dengan
angkuh dan bongkak menolak pelarian Rohingya walaupun ia mempunyai
ikatan sejarah dan persaudaraan.
Demi kelangsungan, mereka terpaksa meredah lautan ke Malaysia dan
Indonesia, negara yang dianggap mereka mampu memberi sinar hidup yang
lebih baik. Namun dugaan buat Rohingya ada di mana-mana.
Pendedahan media mengenai ribuan pelarian yang terkandas di tengah
Selat Melaka dan penemuan kubur besar di kawasan sempadan
Thailand-Malaysia sedikit sebanyak berjaya membuka mata masyarakat
antarabangsa terhadap penderitaan mereka.
Meskipun segala bantuan bersifat sementara, ia cukup meringankan penderitaan mereka.
Ketika isu pelarian Rohingya menjadi fokus media ternama seperti CNN,
al Jazeera dan Reuters, kebanyakan negara Islam yang kaya raya masih
mendiamkan diri.
Lebih sebulan kisah pelarian Rohingya hanyut menjadi tajuk utama
berita antarabangsa, baru Rabu lalu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)
mengumumkan bantuan kemanusiaan segera kepada pelarian Rohingya yang
terkandas di lautan.
Ia akan disalurkan melalui Tabung Perpaduan Islam (ISF), sebuah
organisasi di bawah pertubuhuhan itu dengan geran permulaan US$200,000
(RM732,999) dan akan diagihkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Selepas ribuan menjadi korban dalam pembersihan etnik yang terancang,
hanya ini yang dapat dilakukan oleh OIC bagi membantu saudara Islam di
Myanmar.
Jika dulu OIC dimomokkan dengan “O I see”, sekarang OIC yang tinggal
gusi kerana kewujudannya sebagai entiti umat Islam tidak lagi membawa
sebarang erti.