HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

AS$1 bilion dari IPIC bukan pinjaman 1MDB


 
Menurut Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kandasamy bayaran berkenaan adalah transaksi perniagaan.


arul,ipic,1mdb


PETALING JAYA: Bayaran AS$1 bilion (RM3.6 bilion) diterima Kumpulan1Malaysia Development Bhd (1MDB) daripada International Petroleum Investment Company (IPIC), Abu Dhabi bukan pinjaman.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kandasamy berkata, bayaran berkenaan adalah transaksi perniagaan, bukan pinjaman atau tindakan menyelamat.

“Ia adalah pembayaran awal sebagai sebahagian daripada perjanjian meluas untuk menyelesaikan secara menyeluruh pelbagai transaksi aset dan liabiliti kewangan antara IPIC, Aabar dan 1MDB.

“Maklumat lanjut berhubung transaksi berkenaan akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan yang dipetik daripada Berita Harian Online, Arul berkata demikian dengan merujuk kepada kenyataan Kementerian Kewangan berhubung pembayaran AS$1 bilion yang akan diterima 1MDB pada atau sebelum 4 Jun ini.

Dana berkenaan akan digunakan untuk melunaskan lebih awal hutang RM3.5 bilion kepada satu sindiket bank peminjam antarabangsa.

Susulan daripada kenyataan itu, Arul berkata, pihaknya bimbang dengan dakwaan daripada pelbagai pihak bahawa pembayaran AS$1 bilion itu adalah pinjaman yang menyebabkan 1MDB menanggung hutang tambahan.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menyebut, 1MDB akan menerima bayaran AS$1 bilion selepas memeterai perjanjian dengan IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments (Aabar).

Tiada ulasan: