HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2015

Kubur Pelarian: "Saya Penat Jawab Soalan Anda" - KPN

Oleh: NICHOLAS CHENG 
 
 
Tan Sri Khalid Abu Bakar
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara menunjukkan rasa kurang senang kepada pemberita ketika ditanya mengapa hanya kini polis mengetahui tentang wujudnya kubur mangsa penyeludupan manusia di sempadan Perlis-Thailand.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau penat untuk menjawab soalan yang sama dan orang ramai juga 'bosan' untuk mendengarnya.

Khalid menegaskan bahawa polis hanya mengetahui tentang kewujudan kubur itu baru-baru ini, pada bulan Mei, dan polis tidak mempunyai bukti bahawa pendatang haram telah ditahan di kem-kem tahanan dalam hutan.

Tetapi beliau juga berkata bahawa semua orang tahu mengenai kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia di kawasan itu dan polis tidak hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa.

Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez sebelum ini dilaporkan berkata bahawa ahli-ahli keluarga mangsa penyeludupan manusia telah memberitahu polis dan jawatankuasa sekretariat Asean mengenai perkara itu tahun lalu.

"Oleh itu, saya tidak akan kata bahawa tiada sebarang maklumat diberikan mengenai kewujudan kem-kem itu. Terdapat maklumat yang cukup tetapi ia tidak diambil serius," kata beliau kepada The Star.

Ketika ditanya mengenai perkara ini Khalid menjawab:

"Bila mereka beritahu kita? Apabila berlakunya perkara ini dan adanya penemuan, semua orang mahu menuding jari mengatakan orang ini tidak melakukan tugasnya atau tidak mengambil tindakan," katanya.

"Saya telah menyatakannya sebanyak empat kali. Saya telah menyatakannya sebelum ini. Kami tidak mempunyai bukti bahawa pendatang ini telah memasuki negara ini melalui kem-kem ini. Saya telah menyatakannya sebelum ini," katanya.

Walau bagaimanapun, apabila disoal lagi, Khalid berkata polis tidak hanya duduk diam dan semua orang mengetahui tentang penyeludupan manusia di sempadan.

"Semua orang tahu," katanya.

Khalid mengulangi bahawa kawasan sekitar kem penyeludupan dan kubur di mana rangka mangsa, dipercayai mayat mangsa pelarian Rohingya dan Bangladesh yang ditemui adalah sukar untuk diakses.

"Pergi lihat sendiri. Kami biarkan 62 wartawan pergi ke atas sana dan periksa, anda tanya kepada mereka apa yang mereka lihat. Sebab setiap hari anda bertanya kepada saya dan saya perlu menjelaskan perkara yang sama. Saya fikir orang bosan mendengarnya. Satu-satunya orang yang tidak bosan adalah kamu," katanya.

Beliau enggan bercakap mengenai dua pegawai polis yang ditahan atau berapa ramai yang sedang disiasat berhubung penemuan kubur.

"Saya tidak perlu memberitahu anda (wartawan)," katanya.

Khalid mengesahkan bahawa mereka yang terbabit dengan kegiatan kubur di Wang Kelian adalah antara 37 rakyat Malaysia yang ditangkap kerana penyeludupan manusia pada tahun ini.

"Kami mempunyai maklumat bahawa pendatang tanpa izin telah ditahan tetapi kami tidak dapat menentukan lokasi pada masa itu.

"Sehinggalah kita mempunyai maklumat dari Thailand dan selepas kubur yang pertama ditemui di mana kami melakukan pemeriksaan dari Tangga Seratus ke Kampung Wai.

"Berdasarkan penggeledahan itulah kami menemui kem-kem dan kubur," katanya, menafikan laporan Star bahawa kubur itu telah ditemui pada Januari bukannya, 11 Mei.
 
 

Tiada ulasan: