KOTA BHARU - Tiba di Malaysia sebagai seorang pelarian Rohingya pada 10 Januari, setahun yang lalu, harapan lelaki berusia 21 tahun ini untuk pulang semula ke tanah airnya di Myanmar nampak terlalu tipis.
 
Mohd Razak Abdul Mahmood berkata, bukanlah dia yang memilih untuk tidak lagi menjejakkan kaki ke tanah airnya itu dan bersama keluarganya semula, bagaimanapun dia bimbang tidak akan sempat sampai ke Myanmar sebaliknya akan dibunuh oleh puak yang membenci agamanya di sana.
 
“Mana-mana orang Islam yang sudah keluar dari negara itu tidak akan dapat pulang atau masuk semula ke sana sebab itu saya tidak boleh kelik (balik), kalau saya kelik saya tidak akan sampai malah mungkin akan mati di tengah jalan,” katanya yang bercakap bahasa Melayu dengan loghat Kelantan.
 
Menceritakan kembali bagaimana dia boleh tiba ke Malaysia, Razak berkata, dakwanya penindasan yang berlaku ke atas umat Islam di sana menyebabkan dia mengambil keputusan untuk keluar dari negara itu bagi membela nasib keluarganya.
 
“Semasa tinggal di sana, kami dikongkong dan tidak bebas bergerak. Kami tidak boleh masuk ke kawasan bukan Islam. Ekonomi juga disekat, barangan dijual dengan harga dua kali ganda lebih mahal dan tidak boleh menggunakan mesin wang.
 
“Kerja tidak ada, hendak makan susah, hendak bermain bola pun dihalang, malah sudah terlalu ramai saudara kami dibunuh, ditembak dan wanita pula dirogol, diseksa dan sebagainya. Sehingga pada suatu hari ibu kata pada saya, kalau boleh lari, larilah ke negara Islam,” katanya.
 
Bermula hari itu Razak bertekad untuk berhijrah dan menghubungi rakan sekampungnya yang sudah lama tinggal di Pasir Hor, di sini, untuk meminjam wang. Dia menaiki bot bersama 475 lagi pelarian Rohingya lain serta meredah gelora Andaman selama tujuh hari perjalanan.
 
“Saya bayar kepada ejen kira-kira RM8,000 dan semasa dalam perjalanan itu kami hanya diberi makan pada hari ketiga. Tiga hari kemudian baru diberi makan lagi dan ketika itu ramai yang sakit kerana lapar, panas serta kekurangan air menyebabkan 75 termasuk beberapa kanak-kanak meninggal dunia,” katanya.
 
Dia kemudian tiba di sempadan Malaysia di Golok dan berusaha mendapatkan kerja di sini dan dibantu rakan dia mendapat kerja di kedai makan sebagai pembuat air dan menyewa rumah berdekatan dengan tempat kerjanya itu di Pengkalan Chepa.
 
“Saya tidak tahu sampai bila saya dapat bekerja dalam keadaan selesa seperti sekarang. Saya berdoa kepada ALLAH melindungi ibu bapa, empat adik-beradik yang masih berada di sana (Myanmar).
 
Saya terlalu rindukan mereka, tetapi saya lebih rindukan Masjid Kambun di kampung saya yang sudah dibakar oleh puak yang marahkan kami mendirikan solat,” katanya.