MALAYSIAKINI
Presiden dan barisan kepimpinan yang baru perlu diwujudkan di dalam PAS
bagi memastikan parti itu terus kukuh bersama Pakatan, bekas menteri
besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Nizar berkata beliau hanya mahukan parti itu dipimpin oleh individu yang
tidak memperkecilkan rakan pimpinan dalam Pakatan demi menjaga
keharmonian parti.
"Selepas muktamar apa yang saya mahu ialah muka presiden yang baru dan
Pakatan akan kukuh seperti asal pada 2008 yang mana persefahaman
pemimpin Pakatan jauh lebih akrab dan tidak keluarkan kenyataan yang
memperkecilkan rakan pimpinan Pakatan.
"Presiden perlu baru, perlu juga pimpinan yang baru yang campuran
bersama ulama. PAS perlu dipimpin oleh ulama dan siapa ulama itu? Dia
ialah Ustaz Ahmad Awang.
"Dia (Hadi) boleh cakap Arab, dia (Ahmad) juga boleh bercakap dalam
bahasa Arab, dia (Ahmad) boleh bercakap dan berkomunikasi dalam bahasa
Inggeris, dia (Hadi) tidak boleh.
"Kita perlukan kepimpinan yang dihormati parti dan negara kita. Dan
dengan kepimpinan baru yang raikan Pakatan ia akan menghilangkan
khurafat yang mengatakan hanya Umno boleh pimpin orang Melayu," kata
Nizar.
Beliau berkata demikian dalam forum 'Mampukah PAS dilonjakkan Pasca Jun
2015' di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam
tadi.
Turut hadir sebagai ahli panel dalam forum itu ialah calon Presiden
Ahmad Awang dan bekas menteri besar Selangoor Tan Sri Muhammad Mohd
Taib.
Nizar berkata, walaupun beliau tewas untuk mengekalkan jawatan yang
dipertua PAS Kawasan Kampar, namun beliau tetap bertanding
mempertahankan kerusi ahli jawatankuasa PAS Pusat pada pemilihan kali
ini.
Beliau turut mendakwa, semasa pemilihan PAS kali ini, beliau teruk
difitnah "orang dalam parti" berbanding yang pernah dilakukan oleh Umno
semasa pilihan raya umum lalu. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan
individu terbabit.
Nafi tolak ulama
Katanya, fitnah yang dilemparkan bahawa beliau menolak kepimpinan ulama
tidak benar sama sekali memandangkan segala kritikan yang diberi kepada
kepimpinan PAS demi sayangkan parti.
"Adakah betul kumpulan profesional nak gulingkan ulama sedangkan saya
beranggapan kalau tiada ulama (Majlis Syura) untuk tangani masalah yang
di bawa Umno, dah lama PAS merudum.
"Ulama sebenarnya yang menyelamatkan parti kerana mereka ada ilmu yang
boleh menyelamatkan parti. Tiba-tiba saya hari ini dituduh anti ulama
dan nak jatuhkan presiden.
"Sedangkan kalau di dalam mesyuarat, kalau saya beri kritikan itu
bermakna saya sayangkan orang tersebut tetapi saya lebih sayangkan
parti.
"Saya beri pandangan dan kritikan kerana saya nak mereka membangun,
bukankah itu peradaban dalam Islam. Semasa dipimpin oleh Allahyarham
Datuk Fadzil Noor dan Allahyarham Datuk Nik Aziz (Nik Mat), saya beri
kritikan yang sama dan mereka raikan pandangan mana-mana ahli PAS.
"Hari ini pandangan dalam PAS, kalau kritik presiden, ini lah orang yang sokong bawa rebah," kata ADUN Changkat Jering itu lagi.
Susulan kenyataan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang dilapor memberi kata dua
kepada perwakilan dan bebas memilih pemimpin sama ada yang mengikut
telunjuk DAP atau sebaliknya, Nizar mempersoalkan sama ada perwakilan
mahukan presiden yang didakwanya menjadi boneka DAP atau Umno.
Menurut Nizar, dalam situasi banyak pihak mengkritik Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak, terdapat pihak dalam PAS yang mengeluarkan
kenyataan supaya mengekalkan ahli parlimen Pekan itu sebagai ketua
negara.
"Umno sekarang dalam keadaaan paling lemah apabila Tun Mahathir Mohamad,
(timbalan perdana menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik najib
turut menghentam (Najib), tetapi ada pihak pula yang kata kekalkan
Najib.
"Kalau macam itu saya boleh kata, nak jadi presiden yang jadi boneka DAP
atau boneka Umno?" soal Nizar yang mendapat tepukan daripada hadirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan