HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

Ahmad yakin mampu kalahkan Hadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Calon bagi kerusi Presiden PAS, Ahmad Awang yakin mampu memberi tentangan hebat kepada saingannya yang juga penyandang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 
 
"Kalau tengok usaha saya, winning is achievable (kemenangan boleh dicapai)," katanya dipetik portal The Malaysian Insider.
 
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada forum 'Mampukah PAS Dilonjakkan Pasca Jun 2015?', di auditorium Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), malam tadi.
 
Ahmad, 79, yang juga bekas Naib Presiden mencipta kejutan apabila mengumumkan mahu bertanding mencabar Hadi pada pemilihan parti, minggu depan.
 
Keputusan tersebut menyaksikan Hadi pertama kali dicabar selepas 13 tahun menyandang kerusi berkenaan selepas mengambil alih dari penyandang sebelumnya, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. 
 
Dalam forum itu juga, Ahmad yang ditanya hadirin berhubung strateginya dalam memenangi kerusi berkenaan bagaimanapun  sekadar berkata ia satu rahsia yang pastinya tidak akan didedahkan kepada lawannya.
 
Ahmad juga meramalkan kesan yang mungkin dicipta sekiranya beliau mampu memperoleh hampir separuh daripada undi perwakilan.
 
Keputusan itu katanya, mampu mengejutkan kepimpinan parti agar menyemak semula pendekatan mereka dalam pengurusan parti selama ini.  
 
"Kalau kalah pun, takkan saya kalah dengan 100 undi sahaja. Kalau dia tidak berfikir pun, orang-orang sekeliling dia akan berfikir," katanya.
 
Beliau turut berjanji tidak akan menubuhkan parti serpihan baru jika kalah.
 
"Saya sayang sangat pada PAS dan kerana PAS ada kedudukan penting dalam Pakatan Rakyat, kalau saya ditakdirkan Allah menang, saya akan pastikan PAS terus kekal bersama Pakatan Rakyat.
 
"Kalau kalah pula, saya dan rakan-rakan saya takkan tubuhkan parti baru. Yang salah sekarang bukan PAS, tetapi mereka yang diberikan amanah," ujarnya lagi. 


Tiada ulasan: