HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2015

Guan Eng akui DAP dan PAS saling tidak percaya

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengakui sudah tidak wujud rasa kepercayaan antara DAP dan PAS, sungguhpun kedua-dua parti menyatakan komitmen pada Pakatan Rakyat.
 
“Kalau kita hendak satu pakatan yang membina dan dapat mampan saya rasa kita mesti saling mempercayai semua pihak dan ini sudah tidak wujud lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen tadi.
 
Guan Eng dalam pada itu berkata kelantangannya mengkritik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibuat atas kepentingan tertentu dan bukannya bersifat peribadi.
 
“Bukannya PAS yang perlu ajar saya apa yang saya buat tetapi saya bercakap atas kapasiti mewakili keseluruhan DAP.
 
“Apa yang kami prihatinkan ialah ketegasan kami dalam berprinsip, jadi saya akan terus bercakap tidak kira di mana dan bila apabila diperlukan oleh parti saya,” katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama, Guan Eng turut dilihat menyindir PAS yang sebelum ini meminta beliau berhenti daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap Pakatan Rakyat terutamanya dalam isu yang menjurus kepada Presiden PAS.
 
Malah katanya, PAS tidak berhak memberi amaran kepada beliau.
 
“Sekiranya saya buat sesuatu yang memberi manfaat kepada Hadi, jadi saya yakin dia akan menggalakkan saya untuk bercakap lebih lagi,” katanya.
 
Semalam, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz berkata serangan bertubi-tubi DAP terhadap Presiden PAS hanya akan memudahkan Abdul Hadi untuk memenangi jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti itu yang akan diadakan pada awal Jun ini.
 
Nik Abduh berkata demikian selepas melihat rakan komponennya DAP yang tidak jemu mencampuri kemelut parti itu walupun sudah ramai pimpinan utama PAS menasihatkan Ahli Parlimen Bagan dan bapanya, Lim Kit Siang yang merupakan Penasihat DAP itu supaya bijak menguruskan perbezaan pendapat.
 
 

Tiada ulasan: