Oleh Subky Latif
DALAM tulisan terbaru dalam blognya Dr. Mahathir membentangkan panjang lebar PM Najib telah membuat jawapan bertulis di Parlimen yang disifatkannya berbohong.
Jawapan itu adalah mengenai wang 1MDB berjumlah USD1.1 bilion (RM4.022 bilion) yang dibawa dari Pulau Cayman dikatakan disimpan di bank Singapura. Mengapa ia ditransitkan di Singapura telah ditakwil oleh Mahathir sebelumnya.
Mengenai jawapan Najib di Parlimen itu banyak yang tidak jelas bagi Dr. Mahathir, adakah wang tunai atau dalam bentuk lain. Dan ada pula dikatakan tiada yang tiba ke Singapura.
Kesimpulan mengikut Mahathir, Najib dikatakan sudah memberi jawapan bohong. Maka kekeliruan tentang duit dibawa ke Singapura ada unsur jenayah jika ia tidak dapat dikesan. Polis patut melihat isu ini.
Apakah ia ada unsur jenayah, ia satu daripada kerja polis untuk menentukannya, akan tetapi berbohong di Parlimen juga adalah satu kesalahan besar, jika disabitkan seorang ahli boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.
John Profumo (Brigadier John Dennis Profumo), Menteri Perang Britain (Secretary of State for War) dalam kabinet Harold Macmillan hujung 50-an dan awal 60-an terlibat dalam skandal seks dengan Christine Margaret Keeler. Christine Keeler juga mempunyai skandal yang melibatkan diplomat Soviet Union. Maka timbul isu keselamatan negara Britain. John Profumo disoal di Parlimen. Dia menafikan penglibatannya. Akhirnya dia dibuktikan terlibat. Dia telah meletakkan jawatan.
Perletakan jawatan itu mengikut pandangan umum, tidak justeru skandal seks, kerana tiada siapa di Britain bebas daripada gejala maksiat itu. Tuntutan dia meletak jawatan adalah justeru berbohong di Parlimen. Bagi Parlimen Britain, berbohong di Parlimen adalah jenayah moral yang lebih besar daripada berzina.
Jika dibukti jawapan Najib di Parlimen itu bohong – tidak kira jawapan bertulis atau jawapan lisan, maka ia adalah kesalahan moral yang besar dan telah mencemarkan kemulian Parlimen yang menjadi simbol negara dan rakyat.
Parliman yang berwibawa mesti melihat isu ini sebagai suatu yang besar dan tidak boleh diremehkan jika kita mahu melihat Parlimen kita dihormati dan dimuliakan. Kesalahan berbohong di Parlimen mungkin sama beratnya dengan penipuan 1MDB. Satu menghina negara dan satu lagi menghancurkan negara.
Maka Parlimen, khususnya Speaker mesti menjaga kemuliaan dan wibawa Parlimen, dakwa PM Najib berbohong di Parlimen mesti ditangani sewajarnya, pastikan Najib bersalah atau tidak. Mungkin ada orang lain yang menjadi puaka dalan skandal 1MDB tetapi dalam jawapan di Parlimen ada tanggungjawabnya kerana jawapan itu dia membuatnya.
Jika dibuktikan sah dia berbohong, maka hilanglah kelayakannya sebagai MP Pekan. Pekan mesti mengadakan pilihan raya kecil bagi menggantikannya. Jika Najib hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen, maka dengan sendirinya dia tidak boleh menjadi Perdana Menteri Lagi.
Seorang Perdana Menteri adalah sesorang anggota Dewan Rakyat.
Tidak mudah memaksa dia berundur daripada Perdana Menteri kerana Umno terus menyokong dan mengekalkannya sebagai Presiden Umno. Presiden Umno yang juga anggota Parlimen adalah kelayakan utama bagi menjadi Perdana Menteri.
Tetapi Presiden Umno seumur hidup pun jika tidak menjadi angota Parlimen hilanglah kelayakannya untuk menjadi Perdana Menteri. Dia mungkin tidak boleh dilucutkan kerana isu Altantuya, isu 1MDB, Tabung Haji dan Felda dan lain-lain, tetapi boleh hilang kelayakan kerana berkata tidak betul di Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan