SHAH ALAM - Penguatkuasaan melibatkan semua agensi keselamatan perlu dipertingkatkan dalam memastikan  kawalan keselamatan di sempadan Malaysia dan Thailand lebih terjamin.  
 
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan bersepadu semua agensi keselamatan negara perlu bergerak seiring, tidak hanya terhad peranan yang dimainkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.
 
Katanya, dalam situasi ini Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) bersama agensi lain perlu bekerjasama lebih erat dengan pihak berkuasa Thailand mengawal selia sempadan kedua-dua negara.
 
“Dahulu kita bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama anggota Polis Gerakan Am (PGA) bertugas membuat rondaan dan kawalan di sempadan negara.
 
“Kita juga ada hubungan kerjasama dengan polis Thailand untuk membuat rondaan sempadan dan bertukar maklumat. Jika ada kegiatan haram yang berlaku di kawasan sempadan, maklumat akan sampai kepada penguat kuasa.
 
“Dengan adanya jalinan kerjasama yang hebat antara Thailand dan Malaysia akan lebih memantapkan lagi kawalan sempadan sekali gus mencegah aktiviti penyeludupan barang, senjata api dan pemerdagangan manusia,” ujarnya.

Menurut Hasan, bentuk muka bumi yang mencabar di kawasan sempadan negara dengan Thailand bukanlah alasan lemahnya kawalan.
 
“Kalau ada aktiviti haram meskipun kawalan begitu ketat, pasti berpunca daripada rasuah.. saya jangkakan ada penguat kuasa yang terlibat.
 
“Dalam keadaan ini, kita ada pos kawalan sempadan walaupun dalam hutan sebagaimana yang digunakan semasa membanteras komunis dulu,” katanya.
 
Tambahnya, selain kawalan bersepadu, kedua-dua negara juga perlu meningkatkan risikan serta perkongsian maklumat supaya kegiatan penyeludupan dapat dipatahkan.
 
Musa menambah, kerajaan juga perlu mengkaji penggunaan satelit pada lokasi strategik kerana ia lebih memudahkan pemantauan kegiatan menceroboh sempadan dua negara.