MALAYSIAKINI
Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau boleh tidur lena apabila
mengetahui mendapat sokongan daripada pemimpin utama di Perlis walaupun
Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerangnya supaya berundur.
Pengakuan Najib itu dibuat dua pemimpin utama negeri paling utara di
semenanjung itu, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan sokongan
kepadanya.
Perdana
menteri juga menganggap kedua-dua mereka sebagai "dua harimau" Perlis
dengan Shahidan menjadi "orang kuat politik" manakala menteri besar
sebagai "orang kuat kerajaan".
Kata Najib, Shahidan (kiri) sudah menyatakan sokongan tidak
berbelah baginya sebelum ini dan hanya sebulan lalu, Azlan mengambil
tindakan sama dengan berikrar tetap menyokong di belakang perdana
menteri.
"Dengan ini, saya boleh tidur lena dan tidak berasa kesunyian. Sokongan
ini penting kerana kita perlukan kerajaan yang kuat," katanya di depan
kira-kira 5,000 orang di Kangar, Perlis hari ini.
Sebelum itu dalam ucapannya, Azlan menyatakan sokongan padu kepada Najib dan kerajaan.
Shahidan adalah bekas Menteri Besar Perlis yang kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Arau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan