HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mei 2015

Suhaizan: Saya 'surrender' jika perwakilan termakan dengan sentimen berbaur tohmahan

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat akur kemungkinan beliau tewas pada kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada pemilihan sayap parti itu jika perwakilan mengundi berasaskan sentimen berbaur tohmahan. 
 
Beliau berkata perwakilan mungkin memilih antara dua dalil dalam membuang undi pada Muktamar PAS minggu depan. 
 
"Satu membuat keputusan berasaskan kepada merit iaitu rekod perkhidmatan calon dalam PAS dan yang keduanya berasaskan kepada sentimen," katanya.
 
Suhaizan mengaku beliau berkemungkinan kecundang jika perwakilan terpengaruh dengan tohmahan yang mendesak mereka menolak calon yang kononnya 'membenci ulama, ataupun tidak menyokong presiden.'
 
"Jadi kalau sentimen ini digunakan untuk (perwakilan membuat) keputusan, saya surrender (menyerah kalah)," katanya.
 
Ujar Suhaizan, perwakilan perlu membuat keputusan yang bijak dengan melihat dan menilai prestasi calon serta sumbangannya dalam parti pada masa lalu.
 
"Kalau berasaskan kepada merit (rekod perkhidmatan) saya ada sedikit kelebihan," katanya.
 
Menurut beliau, mana-mana calon yang layak berhak untuk bertanding dalam pemilihan parti sambil menganggap Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempunyai kelebihan tersendiri.
 
"YB Nik Abduh ada kelebihan, jadi masing-masing ada kelebihan.
 
"Terpulang kepada perwakilan untuk menentukanan mana yang jadi pilihan mereka," katanya dalam temubual bersama Antarapos.
 
Jelas beliau, pertandingan yang berlaku dalam Pemuda PAS disifatkan sebagai perkara yang sihat dan akan mematangkan sayap parti itu.
 
"Kita sesama calon ini tak mahu bergaduh, prinsip kita dalam parti bersetuju bahawa antara calon tidak mempertikaikan Antara satu sama lain.
 
"Itu prinsipnya sebagai sahabat, prinsip kita adalah berlumba-lumba membuat kebaikan bukannya berlumba-lumba untuk membuat kejahatan," katanya yang menerima serta menghormati keputusan Nik Abduh untuk kembali bersaing di sayap pemuda.
 
Pemilihan Muktamar ke-61 Pas awal Jun depan menyaksikan Nik Abduh kembali ke Pemuda PAS merebut jawatan itu daripada Suhaizan.
 
Nik Abduh akan berentap dalam pertandingan satu lawan satu menentang Suhaizan setelah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari menarik diri daripada persaingan tersebut.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu pernah menjadi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS penggal lalu dan beliau dijangka memberi tentangan sengit kepada Suhaizan untuk mempertahankan jawatannya pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor mulai 4 hingga 6 Jun ini.
 
Ditanya peluang dan keyakinan untuk mempertahankan jawatan yang dimenangi pada pemilihan PAS 2013, Suhaizan bagaimanapun berkata terserah kepada perwakilan untuk membuat keputusan.
 
"Saya sebenarnya telah melalui daripada Johor lagi, saya pernah menang dan saya pernah kalah.
 
"Saya pernah bertanding Ketua Pemuda PAS Johor dan saya kalah, saya pernah bertanding Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat dan saya pernah kalah.
 
"Malah saya pernah bertanding Exco Pemuda PAS Johor dan saya kalah, saya juga pernah bertanding Exco Pemuda PAS Pusat dan saya kalah," katanya.
 
Justeru beliau menganggap kemenangan serta kekalahan adalah perkara biasa dalam dunia politik selain bersedia menerima apa jua keputusan yang akan diputuskan perwakilan nanti.
 
"Jadi maknanya kalah dan menang itu perkara biasa dalam politik.
 
Untuk rekod semua jawatan tertinggi PAS menyaksikan pertandingan dengan jawatan Presiden buat pertama kali dicabar sejak 1973 apabila penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan ditentang Ahmad Awang.
 
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pula dicabar Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
 

Tiada ulasan: