HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

PasMa tuntut Zuhdi kemuka bukti

MALAYSIAKINI


 


Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) mencabar Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki supaya menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan "rancangan besar" calon tertentu dalam muktamar akan datang.

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, kenyataan dibuat Zuhri semalam adalah tindakan terancang di saat-saat akhir menjelang pemilihan.

"Berlaku adillah Zuhdi. Jangan menyemarakkan fitnah dalam PAS, kerana fitnah itu sekaligus akan memburukkan imej Islam sebagai agama adil, serta imej Pakatan Rakyat sendiri," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Zuhdi membayangkan sebarang perubahan kepimpinan utama PAS akan menjadikan parti itu sebagai "budak suruhan DAP" dalam Pakatan.

Zuhdi (kiri) juga menuduh pencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden sebagai "kumpulan yang lunak dengan DAP".

Katanya, PasMaadalah “jenama baru” untuk kumpulan yang mahu membawa wajah baru dan progresif sejak zaman  reformasi 1998.

Phahrolrazi berkata, lebih baik Zuhdi segera berhenti melakukan fitnah ke atas PasMa.

"Dari awal lagi  saya tegaskan bahawa PasMa tidak akan mencampuri proses pemilihan dalam Muktamar PAS kerana kami adalah NGO (pertbuhan bukan kerajaan) penyokong Pakatan saja," katanya.

Menurut Phahrolrazi, semua tuduhan Zuhdi terhadap mana-mana pemimpin PAS yang menawarkan diri bertanding pada muktamar PAS minggu depan  tidak adil kepada mereka yang berkenaan.

"Kalau ada ahli PasMa menunaikan kewajipannya sebagai ahli PAS sempena musim pemilihan kali ini sekalipun, itu hak peribadi mereka yang PasMa sendiri tidak boleh larang," katanya.

Phahrolrazi turut memberi contoh bagaimana Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang dilihat menyertai majlis jelajah Tun Dr Mahathir Mohamad menghentam Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Walaupun gambar Razman tersebar meluas, Phahrolrazi berkata, ia bukan alasan untuk menuduh pemimpin PAS Perak itu menyokong Dr Mahathir.

"Itu tidak adil untuk sahabat saya (Razman)," katanya. 


Tiada ulasan: