SHAH ALAM -  Kisah penemuan perkuburan besar dan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian baru-baru ini ternyata mengejutkan negara, malah tiada siapa yang menyangka bahawa kejadian sekejam itu akan terjadi di Malaysia.
 
Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, melalui penceritaan orang kampung yang ditemuinya selepas beliau melawat kawasan tersebut baru-baru ini ternyata ada kisah disebalik kejadian tersebut.
 
“Penduduk merasa kasihan melihat pendatang tanpa izin ini, tetapi mereka kecewa kerana sempadan dibolosi, bagaimanapun masyarakat Malaysia adalah orang yang baik  hati terdapat laporan yang saya terima daripada penduduk setempat kadang-kadang pelarian ini ketuk pintu rumah mereka malam-malam minta nasi (makanan)  dalam keadaan yang begitu menyayat hati, mereka begitu lesu.
 
“Lepas mereka dapat makan mereka lari entah ke mana, penduduk pun tidak tahu,” katanya kepada Sinar Online.
 
Berbicara lanjut, Zahidi berkata, walaupun kedatangan pendatang tanpa izin ini kadangkala membawa ‘malapetaka’ di kawasan itu, namun sebagai masyarakat Islam dan atas dasar kemanusian, penduduk setempat tidak mampu untuk menolak bagi memberi bantuan kepada mereka.
 
“Masyarakat setempat tahu bahawa mereka ini datang bawa penyakit berjangkit sehingga menimbulkan kegusaran kepada penduduk setempat akan kesan penularannya …ini kesan tidak baik kepada penduduk setempat namun penduduk setempat tambah-tambah penduduk Islam ini kalau mereka melihat orang Rohingya mereka tidak sampai hati untuk tidak menghulurkan bantuan.
 
“Mereka akan membantu saudara sesama  Islam, hulurkan makanan, beri pakaian dan kadang-kadang ada juga yang hulurkan wang kepada mereka ini,” katanya.
 
Ujar Zahidi lagi, beliau ada mendapat maklumat bahawa ada kem tahanan yang berpusat selain di Wang Kelian iaitu di Pulau Pinang.
 
“Saya ada dapat maklumat penduduk setempat bahawa kem tahanan ada berpusat di sebelah utara contoh di Pulau Pinang, apabila mereka lari ke situ diberi dokumen tertentu, ada agen-agen yang pastinya bukan sahaja di sempadan, agen ini ada juga yang terlibat anggota kerajaan dan pihak berkuasa,” katanya.
 
Oleh itu katanya lagi, beliau berharap kerajaan memandang serius akan perkara ini.