MALAYSIAKINI
Dewan Undangan Negeri Pahang hari ini meluluskan Enakmen Anggota
Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 (Pindaan 2015)
yang menyaksikan kenaikan elaun 42 anggota Dewan Undangan Negeri
daripada RM4,100 kepada RM11,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Jan lepas.
Terdahulu, rang undang-undang bagi pindaan itu dibentangkan oleh Menteri
Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan disokong oleh Datuk Dr Ahmad Shukri
Ismail (BN-Pulau Tawar).
Adnan (bawah) berkata elaun ADUN Pahang kali terakhir disemak
pada tahun 1980 dan ia telah ditangguhkan terlalu lama berbanding
negeri-negeri lain yang telah melakukan pindaan.
"Cadangan pindaan ini kita telah ambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat.
"Jika elaun dinaikkan para ADUN dapat memberi perkhidmatan lebih baik
kepada rakyat," katanya yang kemudian mendapat sokongan majoriti ADUN
termasuk ADUN pembangkang.
Choong Siew Ong (DAP-Tras) yang menyokong kenaikan elaun itu berkata
elaun yang tinggi memberi lebih peluang kepada ADUN menjadi 'wang tunai
segera' khususnya dalam membantu rakyat yang ditimpa kesusahan atau kes
kecemasan seperti kemalangan, kecederaan atau kematian.
"Ia juga dapat menjadi penjamin kepada para pelajar yang ingin memohon
biasiswa bagi meneruskan pelajaran mereka," katanya yang mahu elaun
ditingkatkan kepada seberapa tinggi yang kerajaan negeri mampu berikan.
Persidangan itu juga meluluskan usul mencadangkan pelantikan Pengerusi
MCA Pahang Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua Wanita UMNO Kuala Krau Norahan
Abu Bakar sebagai anggota Dewan Negara selama tiga tahun.
Persidangan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan