HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

Utusan serang Marina ulas isu hudud

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perang terbuka antara Tun Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya telah terpercik kepada anak perempuan mantan perdana menteri, Marina Mahathir kerana mengulas mengenai hudud.

Dalam analisis akhbar Mingguan Malaysia hari ini, Awang Selamat, nama samaran editorial itu, memberi amaran kepada supaya Marina berhati-hati ketika bercakap mengenai hudud kerana ia boleh mengguris perasaan umat Islam.

"Pada Awang, Marina berhak untuk menyatakan apa sahaja tetapi beliau seharusnya lebih berhati-hati terutama menyentuh soal Islam.

"Jika sekalipun beliau menentang hudud, adalah keterlaluan bagi seorang Islam memberikan komen yang begitu keras. Lagipun untuk apa bercakap perkara yang belum terjadi atau wujud," kata Awang Selamat seperti yang dilaporkan dalam akhbar itu.

Sebelum ini, dalam temu bual oleh portal The Malay Mail Online Marina dilaporkan berkata beliau akan meninggalkan negara ini jika undang-undang jenayah Islam itu dilaksanakan.

"Saya tidak boleh hidup di negara di mana manusia mahu memotong tangan manusia lain atau mahu merejam manusia dengan batu sehingga mati, minta maaf,” Marina dilaporkan sebagai berkata.

Serangan pelik akhbar ini terhadap Marina dilihat sebagai perkembangan perang antara Dr Mahathir dan Najib.

Dr Mahathir sebelum ini mendesak Najib untuk meletakkan jawatan ekoran kes 1 Malaysia Development (1MDB) dan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Bagaimanapun Rabu lalu, Najib menerusi blognya menegaskan bahawa Mahathir tidak harus menjejaskan kepimpinannya kerana beliau memegang mandat rakyat.

Tiada ulasan: