HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2015

Rakyat Malaysia menunggu pendirian Muhyiddin

 
Kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah mewakili lebih 30 juta rakyat Malaysia kerana skandal 1MDB merungsingkan rakyat negara ini.


muhyiddin,malaysia


PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa menyatakan pendiriannya secara tegas berhubung kontroversi dan skandal 1MDB.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Shahbudin Husin berkata, rakyat menunggu penuh harapan pendirian sebenar Muhyiddin terhadap isu itu.

“Pendirian beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri sebenarnya lebih ditunggu-tunggu memandangkan kemelut dalam syarikat pelaburan itu telah menimbulkan kebimbangan kepada seluruh rakyat.

“Ini kerana berbanding pendiriannya dalam UMNO yang hanya mewakili kepentingan 3.6 juta ahli, kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah mewakili lebih 30 juta rakyat keseluruhannya,” katanya menerusi shahbudindotcom.blogspot.com.

Shahbudin berkata, pendirian Muhyiddin itu ditunggu-tunggu setelah tersebarnya rakaman video ucapan ditambah pula beliau merupakan salah seorang anggota kabinet.

Katanya, Muhyiddin perlu tegas bersuara sebagai anggota Kabinet bukan hanya berani bersuara dalam parti sahaja.

“Setuju atau tidak setuju mesti dinyatakan dengan jelas dan tidak seharusnya keberanian bersuara hanya dalam parti tetapi dilihat berbeza sebagai anggota Kabinet.

“Begitu juga dengan cadangannya agar Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan polis dibenarkan masuk menjalankan siasatan, Muhyiddin juga harus bertegas apakah beliau boleh berdiam diri saja walaupun tidak ternampak tanda-tanda Najib mahu mengambil kira pandangannya itu,” katanya.

Dia berkata, kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahril Samad supaya Menteri Kabinet meletak jawatan jika tidak faham pelaburan 1MDB sebenarnya ditujukan kepada Muhyiddin.

“Shahril yang dikenali sebagai penyokong Najib dan tidak sehaluan dengan Muhyiddin sejak dulu lagi. Beliau juga mahukan Muhyiddin menyatakan pendiriannya sebenarnya mengenai 1MDB ini.

“Tidak diragui lagi, gesaan Shahrir ini berkaitan dengan video ucapan dan kenyataan Muhyiddin di Milan, Itali,” katanya.

Tiada ulasan: