HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

Gila selfie!

selfie
 
 
PADA era telefon pintar kini, jika anda tidak memanfaatkan aplikasinya, anda seorang yang ketinggalan atau mungkin dianggap anti sosial. 
 
Satu daripada aplikasi yang kini menjadi trend ialah selfie (mengambil gambar sendiri) atau wefie (secara beramai-ramai) dengan si jurugambar turut berada dalam gambar. Paling popular adalah merakam gambar sendiri di hadapan cermin.  
 
Peralatan digunakan adalah kamera digital atau kamera telefon bimbit, dan biasanya hasil selfie atau wefie ini sering dikongsi di laman-laman sosial seperti Facebook, Google+, Instagram, Snapchat, Tumblr, Twitter, MySpace, WhatsApp dan lain-lain. 
 
Selepas foto dimuat naik, pastinya komen diterima dapat dibaca tuan punya badan.
 
Pelbagai aksi anda dapat dilihat rakan sosial. Ada bersahaja, sempoi, buat muka comel, ternganga ala mulut ikan baung atau mulut itik, senget, tutup sebelah mata dan pelbagai aksi pelik, ngeri, lucu, kreatif dan tak terfikir dek akal.
 
Golongan hawa tentunya tidak ketinggalan. Pastinya tiap selfie atau wefie ditayang mempunyai makna atau tujuan tersendiri oleh pengirimnya. Sama ada sebagai hobi, koleksi peribadi, mengajak ke arah kebaikan, menarik perhatian, mengisi masa untuk suka-suka melihat maklum balas rakan sosial, pamer kecantikan atau kelebihan diri dan pelbagai lagi.
 
Ada pula golongan selfie sanggup gadai nyawa atau hingga habis nyawa.  
 
Ironinya tak kurang pula golongan hawa berselfie hingga undang kontroversi - di ranjang, sambil pegang anjing dan tidak fikirkan perasaan orang lain. Pasti ia sensitif di negara kita, lebih-lebih lagi babitkan wanita Islam dan Melayu yang terkenal dengan tatasusilanya.  
  
Kadangkala gelagat berposing, ditambah status tidak sesuai di laman sosial undang rasa jelik dan tidak sepatutnya sedemikian. Jika di luar negara ia perkara biasa, tetapi bagaimana jika ia dilakukan wanita kita. 
 
Lebih berani ada yang tunjuk aksi mengghairahkan dengan pasangan, memalukan atau lebih teruk berposing tanpa seurat benang. 
 
Ada pula yang bimbo, muat naik status di laman sosial tanpa fikirkan akibat dan bahaya boleh mengundang. Beritahu esok nak pergi bercuti di mana dan sekian tarikh. Tidakkah ini mengundang penjenayah dengan mudah boleh ambil kesempatan. 
 
Apa pun gila selfie tidaklah jadi kesalahan, asal trend ini jangan sampai makan diri. Hati-hati dengan status di laman sosial kita.

Tiada ulasan: