SHAH ALAM – Kalau kami (suami isteri) digalakkan kerajaan untuk menambah bilangan anak bagi menyokong peningkatan populasi negara, kami nak makan apa?” keluh ibu muda yang mahu dikenali sebagai Eja.
 
Bekerja dengan sebuah syarikat swasta, Eja yang mempunyai dua orang anak yang masih kecil mengakui pendapatan yang diperoleh setiap hujung bulan hanya mampu menampung kehidupannya dengan ‘cukup-cukup makan’.
 
“Hanya sebab saya sudah berkahwin, bolehlah mengharapkan pendapatan suami yang dikira banyak membantu. Jika saya sendirian, agak sukar bagi saya untuk membesarkan anak-anak. Susu dan lampin pakai buang anak-anak sahaja sudah mencecah RM 500 sebulan.
 
“… Ia tidak termasuk keperluan lain seperti makanan dan kos perubatan. Tidak termasuk juga dengan keperluan kami sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Online, hari ini,
 
Walaupun gajinya melebihi paras gaji minima, Eja mengakui masih tertekan dengan perbelanjaan yang semakin hari semakin meningkat lebih lagi yang berada ibu kota.
 
“Kalau semua barang makin mahal, apa kami nak (boleh) makan nanti? Masih banyak keperluan lain yang terpaksa dipenuhi. Kalau hanya hidup dengan gaji RM 900, kami mungkin terpaksa ikat perut,” katanya lagi.
 
Sementara itu, Siti Zaharah Arif berpendapat, cadangan menambah bilangan anak dalam keadaan ekonomi yang kian menghimpit dianggap tidak relevan.
 
“Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Kos perbelanjaan bulanan untuk anak saya hampir mencecah RM800 setiap bulan. Kadar bayaran pusat asuhan dikenakan dari RM380 hingga RM410. Susu empat tin bagi tiap bulan sudah mencecah RM150. Itu belum dikira lampin pakai buang yang memakan perbelanjaan sehingga RM150 sebulan.
 
“Ditambah pula dengan individu yang hanya bergaji minima RM900, macam mana mahu tanggung perbelanjaan diri sendiri, rumah, asuhan dan persekolahan anak? Hidup di (kawasan) mana yang cukup dengan hanya gaji RM900?,” tempelaknya.
 
Dalam pada itu, seorang lagi pekerja syarikat swasta, Salmi (bukan nama sebenar) pula berkata, keperluan diri, anak dan menguruskan rumah hanya akan cukup sekiranya pendapatannya digabungkan dengan gaji si suami.
 
“Untuk keperluan barang dan kelengkapan anak-anak, biasanya kami (saya dan suami) berkongsi sama rata untuk membeli. Setakat ini gaji kami masih cukup untuk menyara keluarga kami. Kami masih mampu menambah bilangan anak lagi.
 
“Tetapi bagi orang lain yang mempunyai anak yang ramai, beberapa perkara mungkin perlu diambil kira. Keperluan akan mengatasi kemahuan. Mungkin dulu mereka masih boleh membeli dua, tiga helai pakaian, namun bila sudah mempunyai anak yang ramai, mereka perlu catu perbelanjaan mereka,” katanya.