HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2015

Tubuh RCI siasat kubur, kem terbiar di Padang Besar



zairil

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat isu penemuan 28 kem terbiar dan 139 kubur dalam kawasan Malaysia, iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari hari ini mengusulkan perkara tersebut semasa perbahasan usul tergempar di bawah Perkara 18(1) dan (2) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mengenai penemuan kem penampungan dan kubur besar pendatang asing tanpa izin (PATI) 27 Mei lalu.

“Saya menyeru kerajaan memulakan siasatan secepat mungkin. Siasatan terhadap perkara ini tidak boleh dibuat jabatan-jabatan terlibat, atas kekhuatiran konflik kepentingan.

“Hasil siasatan harus dibentangkan dan dibahas di parlimen, tidak seperti siasatan dahulu seperti RCI Teoh Beng Hock dan RCI Project IC di Sabah,” kata Zairil ketika membentangkan usul tersebut.

Katanya, jika kenyataan menteri bahawa kem tersebut telah dibina selama lima tahun, ia menimbulkan persoalaan mengenai persekongkolan antara pemerdagang manusia dengan pihak berkuasa.

Beliau turut menuntut kerajaan memastikan hukuman keras dikenakan ke atas mereka yang terlibat, dalam masa sama mendapat kerjasama siasatan dari pihak Thailand.
grave
“Saya kira tidak mungkin perkara ini boleh berlaku dengan begitu lama tanpa pengetahuan mana-mana pihak berkuasa dan orang tempatan.
“Kata orang, tepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

“Tiada guna jika isu ini diselesaikan di sempadan kita sahaja, kerana terdapat risiko ia akan berulang lagi selagi tidak diselesaikan di kedua-dua negara,” katanya.

Tambah Zairil, Malaysia sudah pun ‘diturunkan pangkat’ daripada Peringkat 2 kepada Peringkat 3 menurut Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Amerika Syarikat, dan mendatangkan kesukaran termasuk rundingan TPPA yang sedang berlaku.

“Saya mencadangkan satu pasukan petugas khas ditubuhkan segera untuk menjalankan siasatan di sepanjang sempadan negara kita dengan Thailand, serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan.
 
Ini untuk memastikan tiada lagi kubur-kubur besar atau kem-kem penampungan PATI, sama ada yang terbiar ataupun yang masih aktif.

“Saya cadangkan kita membabitkan agensi dan pakar antarabangsa seperti UNHCR (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian) serta kumpulan-kumpulan aktivis tempatan,” kata Zairil. – Roketkini.com


Tiada ulasan: