HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

Kawasan hutan Wang Kelian perlu segera ditanam semula pokok

THE MALAYSIAN INSIDER


Kerajaan akan menyalurkan peruntukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk menanam semula pokok di kawasan hutan Wang Kelian berikutan kemusnahan tempat itu ekoran operasi mencari mayat mangsa pemerdagangan manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar, kanan) berkata langkah itu perlu segera dilaksanakan untuk menghutankan kembali kawasan berkenaan bagi membolehkan pengunjung meneruskan aktiviti riadah di tempat itu.

"Kerajaan akan memberi peruntukan kepada Jabatan Perhutanan untuk tanam semula pokok serta-merta dengan pokok-pokok yang cepat tumbuh," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Op Wawasan Khas di Markas Taktikal (Martek), di Wang Kelian, hari ini.


Shahidan yang juga pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkata tindakan segera bagi menghutankan semula kawasan itu penting kerana pokok-pokok lama yang terdapat di kawasan itu bukan dibeli, tetapi ditanam menggunakan benih tanaman hutan. Beliau berkata kawasan itu sangat menarik dan unik untuk mencari ketenangan kerana tiada tempat di Malaysia yang terdapat pasir laut di puncak gunung dan dari segi sejarah, kawasan itu dipercayai pernah ditenggelami air laut.

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur dan kem-kem transit yang ditinggalkan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Dua hari lepas, sebanyak 22 rangka mayat berkafan ditemui dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk tindakan pakar patologi.

Setakat ini, jumlah rangka mayat yang ditemui adalah sebanyak 35 mangsa sejak operasi menggali kubur bermula 25 Mei lepas. – Bernama 

Tiada ulasan: