KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk segala tindakan‎ keganasan dan fahaman ekstremisme oleh mana-mana kumpulan yang menggunakan Islam untuk menjustifikasikan kekejaman mereka.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tindakan tidak bertanggungjawab oleh kumpulan tertentu telah merosakkan imej sebenar Islam.

"Kita tidak perlu membenarkan salah laku beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menentukan pandangan dunia terhadap Islam. Susulan itu, dunia Islam mengeluh dengan ketakutan melampau, kebencian dan permusuhan terhadap Islam dan umat Islam.

"Tanggapan stereotaip oleh dunia Barat, Islamophobia telah mengakibatkan umat Islam mengalami diskriminasi sosial, politik dan sivil," katanya pada sesi ke-42 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (IFCM) di Kuwait, semalam.

Teks ucapannya dihantar ke Bernama di sini, hari ini.‎ "Kami amat sedih dengan hakikat bahawa situasi terus bertambah buruk akibat konflik umat Islam melaga-laga sesama umat dan kami tidak boleh menafikan bahawa terdapat perselisihan dalaman yang membenarkan kumpulan-kumpulan tertentu mengeksploitasi keadaan ini," katanya.

Justeru, katanya terdapat keperluan untuk mencerminkan kelemahan dalam umat Islam.

Anifah berkata, untuk tujuan ini, Malaysia percaya bahawa konsep wasatiyyah atau pendekatan kesederhanaan yang menekankan toleransi, persefahaman, saling menghormati, dialog dan inklusif merupakan kunci bagi menangani masalah tersebut.

"Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) adalah berdasarkan kepada kesederhanaan sebagai nilai teras dan satu cara untuk meredakan ketegangan.

"Oleh itu, Malaysia bersedia untuk  bekerjsama dengan mana-mana negara anggota OIC bagi menyelesaikan konflik dalaman dalam kalangan ummah," katanya. - Bernama