HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2015

Kubur dan kem yang ditemui masih baharu

SINAR HARIAN



Kubur dan kem yang ditemui masih baharu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) beramah mesra dengan anggota Batalion 1Briged Utara Pasukan Gerakan Am semasa melakukan lawatan di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am Wang Kelian, hari ini. Turut kelihatan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (kiri). - Foto Bernama
 
 
WANG KELIAN - Sebanyak 28 kem dan 139 kubur yang ditemui di Bukit Wang Burma di sempadan Malaysia dan Thailand di sini adalah masih baharu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata ia berdasarkan kain kafan yang digunakan untuk membalut mayat yang digali adalah masih dalam keadaan elok serta daun dan ranting pokok yang ditebang di kawasan itu juga masih baharu.

"Barang-barang makanan yang ditemui juga didapati masih baharu termasuk bumbung plastik kem," katanya kepada pemberita.

Beliau membuat lawatan kerja ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Wang Kelian hari ini yang turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Katanya hanya terdapat satu mayat pada setiap kubur dan mayat tidak ditanam secara beramai-ramai dalam kubur besar.

Mayat dikafan secara sempurna mengikut ajaran Islam, tambah Wan Junaidi. 

"Semua jasad akan dibawa keluar bagi menjalani ujian patologi untuk mengetahui cara kematian sama ada mangsa turut diseksa.

"Masalah yang dihadapi ialah untuk membawa mayat turun dari tebing setinggi 571 meter. Namun kita akan berunding dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menggunakan helikopter," katanya.

Beliau kerja menggali semula kubur dan membawa keluar semua jasad dijangka selesai pada 8 Jun. - Bernama

Tiada ulasan: