HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2015

Seminggu saja, 'Tutup 1MDB' kutip RM10,000

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) sudah mengumpulkan RM10,000 bagi kempen “Tutup 1MDB”, syarikat cetusan ilham perdana menteri yang dipertikaikan daripada segenap aspek.

Daripada jumlah itu, kira-kira 1,000 orang sudah menyahut kempen menyumbang RM10 setiap seorang yang hanya dimulakan lapan hari lepas.

Dengan itu, NGO diasaskan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli itu hanya memerlukan separuh lagi dana untuk meneruskan usaha memfailkan tindakan undang-undang dan menjalankan kaji selidik bagi menentukan sikap rakyat pada 1MDB.

Rafizi hari ini mengumumkan perkembangan itu di Facebook beliau.

“Alhamdulillah selepas 1 minggu, kutipan kempen ‪#‎tutup1MDB‬‪#‎kembalikanwangrakyat‬ telah melepasi RM10,000,” tulisnya.

Beliau juga menjangkakan akan dapat memfailkan saman di mahkamah pada 1MDB tidak lama lagi.

“Insya-Allah saman akan difailkan minggu depan dan peguam sedang menyiapkan tiga saman itu.

“Jika anda belum menderma, masih belum terlambat,” katanya.

Injuksi pada KWSP, KWAP, TH

Rafizi pada 21 Mei lalu meminta orang ramai menyumbangkan RM10 setiap seorang bagi menjayakan kempen “Tutup 1MDB” yang dijalankan NOW.

NOW pada mulanya menjangkakan permohonan injunksi terhadap Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji (TH) dapat difailkan hari ini.

Rafizi dan Pengarah Eksekutif NOW Akmal Nasir mendakwa dana-dana itu leka, cuai dan tidak berhati-hati membuat pelaburan, yang mendedahkan pencarum dan pendeposit kepada risiko kerugian.

Permohonan injunksi terhadap KWSP dan TH akan difailkan oleh Rafizi atas kapasitinya sebagai pendeposit.

Permohonan injunksi terhadap KWAP akan difailkan secara bersama oleh anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan mantan ahli Parlimen Machang Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
 
 

Tiada ulasan: