PASIR MAS - Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang membuat kritikan terbuka dan sindiran ke atas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuka ruang kepada pihak lawan untuk menyerang kepimpinan seterusnya melemahkan perpaduan parti.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, kritikan terbuka itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Pas dan ia sepatutnya dibuat secara dalaman.

"Sebagai Timbalan Mursyidul Am, saya nasihatkan supaya apa-apa jua masalah dalaman parti jangan didedahkan kepada umum dan seboleh-bolehnya diselesaikan secara tertutup," katanya.

Terdahulu, Ahmad yang merupakan Menteri Besar Kelantan merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak Kelantan Membangun Bersama Islam Zon Utara di Stadium Mini Pasir Mas di sini, hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi, Datuk Hanifa Ahmad.

Sinar Harian hari ini melaporkan, Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu secara terbuka mengkritik dan menyindir Abdul Hadi ketika menyampaikan ceramah 'Kukuhkan Pakatan Pembangkang, Tumbangkan BN', di Tumpat.

Mat Sabu mengkritik kegagalan Abdul Hadi menawan Terengganu dan menyindir Ahli Parlimen Marang itu yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

Tegasnya, Pas tidak mampu mencapai kemenangan dalam pilihan raya sekiranya tidak mendapat bantuan parti lain dalam pakatan pembangkang.

Ahmad berkata, Pas membuka ruang ahli untuk melontarkan pandangan terhadap parti melalui muktamar yang bakal berlansung tidak lama lagi.

"Kita ada ruang untuk bagi pandangan, dengar dulu ucaptama dari Presiden kemudian bahaslah dengan memberikan cadangan serta idea kearah memperkukuhkan parti bukannya menghancurkan," katanya.