HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2015

Isa Samad punca kehancuran Felda?



Oleh Zuraidi Abdullah


Felda Global Ventures (FGV) kembali menjadi topik hangat apabila harga sahamnya menjunam teruk kepada RM1.93 berbanding harga IPO.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk segera menamatkan perkhidmatan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda dan FGV di atas kegagalan ini.

Singkap kembali sebelum penyenaraian FGV, Boston Consulting Group (BCG) telah melakukan kajian ke atas kakitangan pengurusan FGVH pada Jun 2012. Hasil kajian merumuskan :-


1. 65% daripada kakitangan pengurusan FGVH mempercayai bahawa IPO ini akan gagal. 2. 55% pula melihat bahawa FGVH tidak bersedia untuk pelan penyenaraian di KLCI.
3. Hanya 20% daripada Pengurusan Tertinggi FGVH menyokong pelan penyenaraian ini.

SAMM berpandangan tragedi yang berlaku kepada FGV hari ini adalah berpunca daripada keengganan

Kerajaan mendengar suara kelompok 65% dan 55% ini selain daripada pertubuhan dan NGO pro-peneroka sedari awal lagi. Disusuli pula dengan kegagalan dan kebodohan Isa Samad menguruskan Felda dan FGV.

Najib perlu sedar Felda telah dua kali menukar pengurus besar iaitu Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Datuk Faizoull Ahmad tetapi kedua-dua entiti yang melambangkan maruah peneroka ini masih tetap bermasalah. Sudah sampai masanya Najib memberhentikan Isa Samad.

Peneroka-peneroka perlu mengetahui bahawa anak Isa Samad telah disiasat oleh SPRM kerana pembelian meragukan Grand Plaza Serviced Apartment dan Grand Plaza Kensington Hotel di London yang mencecah hampir RM1 bilion. Walaupun menteri berkata tiada unsur penyelewengan dalam skandal pembelian hotel ini, tetapi mengapa CEO Felda Investment Corporation (FIC) telah diarahkan meletak jawatan oleh Isa Samad.

Isa Samad juga perlu menjelaskan mengapa FGV berniat untuk menjualkan Felda Prodata System, Felda Travel dan Felda Property sedangkan ketiga-tiga entiti ini meraih keuntungan setiap tahun?

Adakah ini jalan singkat untuk menunjukkan FGV untung selepas menjual aset-aset berharga ini?

Sedarlah Najib. Kerana tidak berpuas hati dengan tindakan SPRM terhadap anaknya dan untuk menutup kegagalan dirinya, Isa Samad sebenarnya sedang menggunakan Felda menyerang Najib bagi mendapatkan payung emas dari Mahathir.

Isa Samad adalah punca kehancuran Felda yang digagaskan oleh bekas perdana menteri Tun Abdul Razak. –- themalaysianinsider.com 

* Zuraidi Abdullah merupakan penyelaras SAMM Kebangsaan.

Tiada ulasan: