OIC lambat bertindak dalam menangani pelarian hanyut Rohingya
PETALING JAYA: Krisis pelarian Rohingya bukan isu baru yang dibangkitkan pada Pertubuhan Kerjasama Islam OIC dan sejak beberapa dekad lalu, ia pernah menjadi agenda utama mesyuaratnya.
Namun, sejak dari awal isu berkenaan dtimbulkan dengan resolusi demi resolusi, desakan demi desakan, ia tidak memberi sebarang impak ke atas isu yang dibangkitkan.
Bahkan, nasib pelarian Rohingya lebih buruk apabila mereka tidak lagi dianggap masyarakat pribumi Myanmar apabila regim tentera memperkenal Akta Kewarganegaraan 1982.
Meskipun plot penderitaan Rohingya lebih lama daripada itu, namun pengenalan akta berkenaan menyebabkan mereka dianggap sebagai pendatang.
Rupa bentuk fizikal yang lebih menjurus kepada orang Benggali, memudahkan Regim Yangon mengusir mereka secara terang-terangan.
Agama Islam yang menjadi pegangan, membangkitkan lagi sentimen kebencian sehinggakan wujud gerakan pelampau di kalangan sami Budha yang bertanggungjawab melakukan pelbagai keganasan termasuk pembunuhan secara terbuka ke atas orang Rohingya.
Situasi ini berbeza dengan penindasan yang berlaku situasi di Tebing Barat dan Gaza, di mana orang Palestin bangkit dengan apa cara mempertahankan hak khususnya tanah mereka melawan anak kuasa besar dunia, Israel.
Begitu juga di wilayah Selatan Thailand yang tidak jauh daripada Rakhine atau dulunya dikenali sebagai Arakan, masyarakat Melayu sejak lebih 200 tahun tidak pernah mengalah kepada orang Thai yang beragama Budha untuk mempertahankan hak mereka. Mereka memberi tekanan kepada Bangkok sama ada dalam bentuk politik dan perjuangan bersenjata.
Sehingga kini, meskipun wujud penindasan ke atas masyarakat Islam di tiga wilayah berkenaan, tetapi tentangan yang diberikan berjaya mengekang pengaruh dan penguasaan penuh Budha ke atas mereka.
Di Rakhine, struktur masyaraakat Rohingya amat lemah dalam segala segi sehingga mereka diperlaku seolah-olah tanpa maruah.
Jika dibandingkan dengan etnik lain seperti Karen dan Shan, yang bangkit dengan gerakan bersenjata menentang kerajaan Myanmar, nasib etnik itu lebih baik berbanding apa yang dialami orang Rohingya.
Tidak dapat dinafikan, sejarah lalu menjadikan orang Rohingya yang wujud pada hari ini, amat lemah.
Etnik ini mungkin kuat dalam konteks agama dan ketuhanan, tetapi daripada sudut lain seperti politik, mereka lebih banyak pasrah dan menyerah.
Kekurangan itu menyebabkan orang Rohingya meletakkan harapan yang amat tinggi kepada saudara seagama mereka di luar Myanmar untuk membantu.
Bangladesh, di bawah kepimpinan Shaikh Hasina Mujibur Rahman dengan angkuh dan bongkak menolak pelarian Rohingya walaupun ia mempunyai ikatan sejarah dan persaudaraan.
Demi kelangsungan, mereka terpaksa meredah lautan ke Malaysia dan Indonesia, negara yang dianggap mereka mampu memberi sinar hidup yang lebih baik. Namun dugaan buat Rohingya ada di mana-mana.
Pendedahan media mengenai ribuan pelarian yang terkandas di tengah Selat Melaka dan penemuan kubur besar di kawasan sempadan Thailand-Malaysia sedikit sebanyak berjaya membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan mereka.
Meskipun segala bantuan bersifat sementara, ia cukup meringankan penderitaan mereka.
Ketika isu pelarian Rohingya menjadi fokus media ternama seperti CNN, al Jazeera dan Reuters, kebanyakan negara Islam yang kaya raya masih mendiamkan diri.
Lebih sebulan kisah pelarian Rohingya hanyut menjadi tajuk utama berita antarabangsa, baru Rabu lalu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengumumkan bantuan kemanusiaan segera kepada pelarian Rohingya yang terkandas di lautan.
Ia akan disalurkan melalui Tabung Perpaduan Islam (ISF), sebuah organisasi di bawah pertubuhuhan itu dengan geran permulaan US$200,000 (RM732,999) dan akan diagihkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Selepas ribuan menjadi korban dalam pembersihan etnik yang terancang, hanya ini yang dapat dilakukan oleh OIC bagi membantu saudara Islam di Myanmar.
Jika dulu OIC dimomokkan dengan “O I see”, sekarang OIC yang tinggal gusi kerana kewujudannya sebagai entiti umat Islam tidak lagi membawa sebarang erti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan