HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Oktober 2015

2 warga Malaysia diculik di Sandakan masih selamat, kata Nur Jazlan

THE MALAYSIAN INSIDER



Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihak berkuasa masih tidak berputus asa untuk membebaskan 2 mangsa culik, Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted di Sandakan, Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insider, 4 Oktober, 2015.Timbalan Menteri Dalam Negeri I Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihak berkuasa masih tidak berputus asa untuk membebaskan 2 mangsa culik, Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted di Sandakan, Mei lalu. – Gambar The Malaysian Insider. 


Nasib Thien Nyuk Fun dan Bernard Then Ted yang diculik sekumpulan lelaki di restoran Makanan laut di Sandakan, Mei lalu, masih selamat berdasarkan maklumat yang diperoleh pihak berkuasa Eastern Sabah Security Command (Esscom), kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan menteri dalam negeri I itu berkata, pihak berkuasa masih tidak berputus asa untuk membebaskan mereka.

"Kita berusaha menggunakan semua rangkaian termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi membebaskan kedua-dua mereka dan saya berharap keluarga mangsa menaruh kepercayaan terhadap segala usaha yang dilakukan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan sehari ke 6 pulau dalam kawasan Esscom.


Kedua-dua mangsa dibawa lari dari restoran itu sambil diacukan pistol pada 14 Mei, dan kini mereka dipercayai berada di sebuah pulau di selatan Filipina. Penculik menghubungi keluarga mangsa sekurang-kurangnya sekali seminggu, menuntut wang tebusan untuk membebaskan mereka, tetapi keluarga tidak mampu memenuhi tuntutan penjahat itu dan kini semakin bimbang tentang kesihatan 2 mangsa culik itu, terutamanya Thien.

Turut bersama Nur Jazlan ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri II Masir Kujat dan Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun.

Nur Jazlan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kedua-dua mangsa itu kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan serta rundingan yang sedang dijalankan.

Pada masa sama, Nur Jazlan mahu masyarakat yang tinggal dalam kawasan Esscom supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam melindungi kawasan berkenaan daripada penceroboh.

Katanya, buat masa ini pihak berkuasa Esscom percaya kegiatan penculikan membabitkan wang tebusan berlaku disebabkan ada segelintir masyarakat yang menjadi tali barut kepada kumpulan penculik berkenaan.

"Saya tidak menuduh mana-mana pihak, cuma jika masyarakat lebih prihatin dengan aktiviti yang boleh mengancam keselamatan secara keseluruhan terutama sekali membabitkan penculikan, ia perlu dilaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa Esscom," katanya.

Nur Jazlan berkata, masyarakat dalam kawasan Esscom perlu menumpahkan taat setia mereka kepada negeri Sabah dan Malaysia dengan tidak menjadi tali barut kepada kumpulan penculik dari Selatan Filipina.

Katanya, walaupun ada di kalangan mereka yang masih mempunyai talian persaudaraan dengan keluarga di Selatan Filipina, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi tali barut kepada kumpulan penculik.

Sementara itu, mengulas mengenai perolehan kelengkapan Esscom, Nur Jazlan berkata, kerajaan sudah meluluskan pembelian 92 bot pelbagai Jenis bagi meningkatkan keupayaan aset pihak berkuasa tersebut di laut.

"Pihak Esscom akan menerima bot-bot ini secara berperingkat-peringkat," katanya.

Tiada ulasan: