KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang hari ini menyifatkan Bajet 2016 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai gagal menepati aspirasi dikehendaki oleh rakyat.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan usaha kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal sebanyak RM38.8 bilion atau 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNKK) sebagai gagal.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengkritik penambahbaikan dalam pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilihat tidak memberi manfaat kepada rakyat.
"Defisit sebanyak 3.1 peratus itu juga pada saya tidak akan dicapai. Selalunya seperti yang saya katakan akan ada peruntukan tambahan.
"GST pula yang dikatakan kerajaan sampai ke tahap setiap rakyat akan membayar RM1,300 setiap tahun jika dibandingkan dnegan BR1M yang diberikan RM1,000 satu keluarga juga kekurangan. Apa yang mereka beri adalah kurang apa yang diambil," katanya ketika ditemui pemberita sebaik sahaja pengumuman Bajet 2016 oleh Najib, petang tadi.
Najib ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini, berkata antara langkah akan dilaksana ialah mengecualikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara Luar Bandar di Sabah, Sarawak dan Labuan pada 2016.
Beliau dalam pada itu berkata kerajaan bersedia untuk melepaskan lagi pendapatan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas beberapa barangan asas.
Najib yang juga Menteri Kewangan menambah GST kadar sifar ke atas semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun kumpulan A, B, C & D, selain ke atas tambahan 95 jenama ubat 'over-the-counter' meliputi 30 penyakit seperti kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.
Katanya, pengenaan GST sifar ke atas ubat-ubatan yang disebutkan melibatkan peningkatan dua kali ganda kepada 8,630 jenama ubat daripada 4,215 jenama.
Namun pengumuman itu tidak disenangi oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar dengan mendakwa ia ada kaitannya dengan Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dimuktamadkan kelak.
"Itu kebimbangan kita sebab ia belum lagi diambil kira lagi kesan TPPA terhadap kos yang dibimbangkan oleh bukan sahaja rakyat di Malaysia dan 12 negara anggota yang lain.
"Tidak ada apa-apa keputusan atau perkara yang besar yang ditonjolkan daripada pembentangan ini.
Ubat-ubatan walaupun ada dilepaskan dari GST namun rakyat semua berharap kesemuanya dikecualikan dari GST," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan