KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu teruk yang melanda negara ini sejak hampir
dua bulan lalu dijangka berakhir minggu hadapan dengan bermulanya
Monsun Timur Laut hujung minggu ini.
Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Dr. Mohd. Hisham Mohd.
Anip berkata, peralihan daripada Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur
Laut itu akan memungkinkan pergerakan angin menolak kembali jerebu ke
arah Indonesia.
“Pada kebiasaannya Monsun Timur Laut hanya akan bermula awal bulan
November, namun bagi tahun ini dijangka berlaku lebih awal iaitu hujung
minggu ini.
“Apabila angin dari arah Laut China Selatan mula bertiup, jerebu di
negara ini akan ditolak keluar ke arah Indonesia, oleh itu kita
menjangkakan negara akan bebas daripada jerebu selewat-lewatnya hujung
minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam forum Bicara Persada ke-25
bertajuk Bernafas Dalam Jerebu - Sampai Bila? di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.
Yang turut menjadi panel dalam forum berkenaan ialah wakil Kedutaan
Indonesia, Freddy M. Panggabean; Timbalan Pengarah Institut Alam Sekitar
dan Pembangunan (Lestari), Dr. Mohd. Talib Latif ; Ketua Penolong
Pengarah Kanan Bahagian Udara Jabatan Alam Sekitar Putrajaya, Mohd.
Fahmey Yusoff dan Pengarah Eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan
Pembangunan Malaysia (Cetdem), Anthony Tan.
Mengulas lanjut berhubung ramalan Monsun Timur Laut yang dijangka
bermula lebih awal, Mohd. Hisham berkata, faktor itu disebabkan oleh
fenomena El Nino yang mengubah corak cuaca sekali gus bakal menyaksikan
peralihan monsun itu berlaku lebih awal daripada biasa.
“Berdasarkan indeks permonitoran permulaan monsun dan corak tiupan
angin, kita yakin Monsun Timur Laut akan bermula lebih cepat sedikit
mungkin dalam dua tiga hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, ketika menjelaskan senario jerebu di negara ini, Mohd.
Hisham memberitahu, jerebu terburuk pernah dialami negara adalah pada
1997 dengan mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) mencecah 600 di
Sarawak.
“Walaupun begitu ia tidak seteruk tahun ini kerana bacaan IPU pada
tahap tidak sihat dan amat tidak sihat lebih menyeluruh di seluruh
negara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan