PETALING JAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail secara
rasminya bersara daripada perkhidmatan kehakiman dan perundangan, sehari
sebelum meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-60, iaitu umur
persaraan wajib kakitangan awam.
Menurut sumber, Abdul Gani tidak melakukan "punch out", rutin terakhir
bagi penjawat awam sebelum meninggalkan pejabat masing-masing.
Ini kerana Abdul Gani mengambil cuti sejak 27 Julai lalu.
Sumber berkata, tiada sebarang perancangan untuk mengadakan majlis rasmi untuk meraikan persaraan Abdul Gani.
Abdul Gani berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun bermula
pada Januari 2002 sebelum perkhidmatannya ditamatkan secara mengejut
pada 27 Julai lalu.
Laporan sebelum ini memetik Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali
Hamsa sebagai berkata penamatan tugas Abdul Gani adalah disebabkan
masalah kesihatan.
Namun, Abdul Gani dilaporkan terkejut dengan pengumuman tersebut.
Beliau terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan
Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Oktober 2015.
Jawatan beliau digantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkuat kuasa pada 27 Julai lalu.
Terdahulu, Abdul Gani mengetuai Pasukan Siasatan Khas bagi menyiasat
dakwaan terhadap Perdana Menteri membabitkan dana 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Antara kes berprofil tinggi yang dikendalikan beliau adalah kes liwat
bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Abdul Gani memulakan kariernya pada 15 April 1980 sebagai Timbalan
Pendakwa Raya di Kota Kinabalu dan selepas lima tahun, beliau dilantik
sebagai Peguam Kanan Persekutuan untuk Sabah pada 1985.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai ketua bahagian pendakwaan di Jabatan Peguam Negara pada 16 Januari 1994.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan