shahbudindotcom
Semalam
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dijadual mempengerusikan
mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Operasi Pilihanraya (GCOC) di ibu
pejabat UMNO, tetapi tiba-tiba ia ditangguhkan tanpa sebarang sebab
diberikan.
Andaian
umum melihat penangguhan ia lebih kerana pendedahan media dua hari
sebelum mesyuarat itu berlangsung kerana ia kebiasaannya dikendalikan
oleh Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO tetapi dikatakan
diberikan kepada Zahid untuk mempengerusikannya.
Surat
panggilan mesyuarat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO,
Tengku Adnan Tengku Mansor dengan mengatakan ia akan dipengerusikan oleh
Zahid Hamidi bukan saja bermakna cuba mengenepikan kedudukan Muhyiddin
Yassin, malah seperti mahu memberikan peranan sebagai orang nombor dua
dalam parti kepada Timbalan Perdana Menteri secara "percuma" untuk
menyesuaikan dengan kedudukannya dalam kerajaan ketika ini.
Sebelum
ini Muhyiddin juga sudah diketepikan peranannya sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO yang amalan biasanya akan
mengadakan mesyuarat sebelum MT bersidang apabila ia digantikan dengan
mesyuarat khas Biro Politik yang dipengerusikan sendiri oleh Najib.
Ternampak
bahawa sejak penyingkiran Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri,
tetapi terus dikekalkan sebagai Timbalan Presiden, ketidaktentuan dan
kecelaruan mulai berlaku dalam UMNO.
Sementara Muhyiddin dikekalkan jawatanya, namun peranannya diabaikan serta cuba dirampas satu demi satu.
Itu
belum diambil kira lagi dengan ketidaktentuan sama ada Muhyiddin mahu
diberikan ruang atau sebaliknya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita,
Pemuda dan Puteri pada Disember nanti. Najib mungkin bimbang jika
Muhyiddin diberikan ruang itu, ucapannya akan bernada kritikal dan lebih
mirip pembangkang berbanding menyokong segala dasar kerajaan yang
dipimpinnya.
Namun
tugas perasmian itu tidak boleh diberikan kepada Zahid kerana beliau
masih Naib Presiden lagi. Kalau mahu diserahkan kepada Ketua sayap
masing-masing merasmikannya, ia turut kelihatan janggal dan diluar
amalan yang sudah biasa dilakukan sebelum ini.
Begitu
juga dengan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO nanti, Najib
juga mungkin sedang memikir-mikir sama ada mahu memberi ruang kepada
Muhyiddin atau tidak. Jika Muhyiddin berterusan menunjukkan sikap tidak
sebulunya dengan Perdana Menteri, memberi peluang berucap seperti
memberi promosi percuma kepada Muhyiddin menonjolkan dirinya.
Hakikatnya
selagi ada dua orang yang berbeza di jawatan nombor dua antara kerajaan
dan UMNO, kecalaruan dan ketidaktentuan akan terus berlaku. Bayangkan
jika berlaku sehingga pilihanraya umum dan pemilihan UMNO yang dijadual
diadakan pada tahun 2018 akan datang.
Sebab
itu apabila Tun Mahathir memecat Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada
1998, ia turut diikuti dengan penyingkiran daripada UMNO juga. Apa pun
cabaran yang berlaku selepas itu, ia adalah lumrah dalam proses
mengekalkan kuasa.
Dari
segi politiknya, ketidaktentuan dan kecelaruan ini adalah kerana
kelemahan Najib yang hanya berani menyingkirkan Muhyiddin daripada
kerajaan, tetapi tidak cukup kekuatan untuk menyingkirkan Timbalan
Presiden itu daripada UMNO.
Najib
sepatutnya berani memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin sebaik
menyingkirkannya daripada kerajaan dan mengambil kesempatan daripadanya
untuk terus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam UMNO.
Dengan
Zahid yang sudah dijadikan Timbalan Perdana Menteri dan diberikan pula
tugas memangku jawatan nombor dua kiranya Muhyiddin dipecat, sudah tentu
usaha mengukuhkan lagi kekuatan UMNO menjadi lebih mudah, meskipun
mungkin terpaksa bergelut cabaran untuk beberapa lama bagi memberi
penjelasan kepada akar umbi.
Hakikatnya,
menghadapi orang yang sudah dipecat jauh lebih mudah jika dibandingkan
berlawan dengan seseorang itu masih dalam jawatannya.
Tetapi
berbanding sekarang, ketidaktentuan dan kecalaruan akan berlarutan
selagi Muhyddin kekal di jawatannya. Najib susah, Zahid lagi susah.
Sebagai
Timbalan Presiden yang dipilih, mengekalkannya bererti kedudukan dan
peranannya hendaklah dihormati. Semua urusan dalaman UMNO yang selama
ini dikendalikan oleh Muhyiddin mesti dikekalkan kepadanya. Ia tidak
boleh diserah sesuka hati kepada Zahid kerana kedudukannya masih lagi
nombor tiga dalam parti bersama Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein.
Hanya ada dua pilihan bagi Najib merungkaikan kemelut ini, walaupun sebenarnya boleh dikira agak terlewat.
Pertama,
membangkitkan semula isu ucapan dan kritikan Muhyiddin terhadapnya
sebelum ini berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta untuk dibawa dalam MT
dan seterusnya dihukum dengan pemecatan daripada UMNO atau penggantungan
jawatannya sehingga pemilihan seterusnya.
Selepas
itu, serahkanlah semua mandat pemangkuan jawatan Timbalan Presiden
dengan senang hati kepada Zahid Hamidi. Zahid pun tentu lebih senang
hati menerimanya.
Kedua,
mengembalikan semula tarikh pemilihan UMNO yang sudah dianjakkan ke
tahun 2018 sebelum ini kepada tarikh asalnya iaitu tahun depan.
Ketika
itu, hanya kira-kira setahun dari sekarang, Najib bolehlah memberi
sokongan sepenuhnya kepada Zahid untuk bertanding jawatan Timbalan
Presiden UMNO sebagaimana mantapnya sokongan Tun Mahathir kepada Tun
Ghafar ketika bertembung dengan Tun Musa Hitam dalam pemilihan 1987
dahulu.
Muhyiddin
pula, berilah kebebasan kepadanya sama ada mahu mencuba bertanding
jawatan Presiden UMNO, mengekalkan jawatan Timbalan Presiden yang
disandangnya sekarang atau terus bersara daripada politik.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan