shahbudindotcom
Petang ini
Najib Razak akan membentangkan Bajet 2016 di Parlimen. Ini adalah kali
ketujuh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan berbuat demikian.
Tetapi,
tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pembentangan Bajet kali ini
berlaku di ketika imej beliau hampir-hampir gelap diselubungi jerebu
yang diakibatkan oleh kemelut 1MDB dan wang derma RM2,600 juta yang
masih menjadi pertikaian rakyat.
Di
sisi yang lain, awan hitam sebenarnya sudah agak lama membayangi
kepimpinan Najib yang gemar dengan slogan retorik seperti "janji
ditepati", "kami mendengar" dan "BN menang rakyat senang", tetapi
hakikatnya sentiasa saja menambahkan beban rakyat dengan perlaksanaan
cukai GST, menghapuskan subsidi minyak serta yang terbaru membenarkan
kenaikan tol di dalam bandar, sedangkan antara janji PRU 13 BN ialah
mengurangkannya secara berperingkat-peringkat.
Selain
semua keadaan itu, ditambah dengan pelbagai "pekung", "tokak" dan
"panau" dalam kepimpinannya yang sudah menjadi bualan rakyat sejak 2009
lagi, hakikatnya tiada apa-apa lagi harapan rakyat dalam Bajet yang
dibentangkannya ini.
Jika janji pilihanraya boleh dimungkiri dan slogan sendiri senang-senang dikhianati, apa lagi harapan yang ada dalam hati?
Keyakinan
dan kepercayaan rakyat yang sudah sekian lama terhakis terhadap Najib,
menjadi bertambah buruk apabila muncul isu wang RM2,600 yang didapati
mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.
Bermula
dengan penafian, menyifatkan ia konspirasi, kemudian mahu menyaman
media yang mendedahkannya, tetapi apabila wang itu disahkan sebagai
derma, Najib dan konco-konconya tanpa malu-malu mempertahankan pula
kewajaran menerimanya dengan pelbagai hujah yang antaranya untuk dana
politik, memastikan kemenangan UMNO, memerangi keganasan ISIS dan
sebagainya.
Dalam
isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan wang derma itu, ia juga
menyaksikan pemecatan anggota kabinet, penyingkiran peguam negara, kacau
ganggu terhadap SPRM yang sedang menjalankan siasatan, pertukaran
pegawai penyiasat secara mengejut ke Jabatan Perdana Menteri serta
melumpuhkan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC.
Semua
itu menjadikan pandangan umum terhadap Najib begitu "hitam". Ternampak
semua tindakan di luar kewajaran itu adalah untuk menyelamatkan diri
semata-mata.
Lalu
tidak menghairankan kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan kadar
puas hati rakyat secara keseluruhannya hanya tinggal 23 peratus saja
berbanding 38 peratus pada Januari lalu.
Golongan
Melayu yang dulunya berpuas hati kepada Najib sebanyak 52 peratus,
turut menurun menjadi 31 peratus saja lagi. Kaum Cina terus menolaknya
dengan dulunya yang berpuas hati adalah 11 peratus, kini hanya tinggal 5
peratus saja.
Maka,
apakah harapan rakyat apabila orang sama yang sebenarnya semakin
dijauhi membentangkan Bajet sambil membawa janji, "Tahun ini, kita
menumpukan usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi negara, mengurus impak
kelemahan luaran serta melindungi kesejahteraan rakyat?"
Ketika
rakyat berdepan dengan pelbagai bebanan dan kesengsaraan serta dalam
masa yang sama menyedari tentang kelembapan ekonomi, kejatuhan harga
saham dan penurunan nilai ringgit, mereka juga menyedari satu-satu punca
utamanya ialah Najib sendiri.
Imej
beliau yang begitu buruk di mata dunia adalah halangan kepada
segala-galanya. Pembentangan Bajetnya kali ini adalah umpama seorang
yang sangat dibenci kerana pelbagai kejahatan dan onarnya, tiba-tiba
datang dengan bakulnya membawa ole-ole sebagai buah tangan dan untuk
keperluan harian kepada orang-orang kampung, maka berapa ramaikah yang
sudi menerimanya?
Tentu saja lebih ramai yang enggan atau keberatan menerimanya. Yang sanggup menerima pula sudah pasti dikenali jenis orangnya.
Bukan
ole-ole berupa makanan dan keperluan harian itu yang ditolak, tetapi
kerana tangan dan hati sang pemberi itu sentiasa diragui dan tidak mudah
lagi dimaafi.
Begitu
juga dengan Bajet 2016 ini, semua yang cuba dilakukan Najib nanti tidak
lebih hanyalah taburan janji untuk memulih dan memperbaiki semula
imejnya setelah melakukan pelbagai "onar" yang sukar diterima secara
lazimnya.
Rakyat tetap menolak dan tidak mempercayai beliau lagi, sama sebagaimana tidak ada yang percaya wang RM2,600 juta adalah derma.
Maka, ramai yang menolak Bajet 2016 ini kerana menganggap Bajet Najib kali ini tidak lebih umpama "junk" atau sampah saja.
Lantaran
itu, menjadi kewajipan Ahli-Ahli Parlimen yang berpaksikan suara
rakyat, sama ada pembangkang atau BN, menolak Bajet yang mungkin hanya
penuh "gula-gula" yang dibentangkan Najib nanti.
Ikutlah
kata-kata Ahli Parlimen paling lama, Tengku Razaleigh Hamzah yang
menyebut, "saya tidak rasa mereka akan mengundi menolak Bajet jika
mengikut kebiasaannya. Tapi jika mereka merasakan terdapat isu
substantif untuk menentang Perdana Menteri, mereka mempunyai hak untuk
melakukannya."
Kepada
Ahli Parlimen BN, terdapat dua pilihan untuk melakukannya - sama ada
secara terbuka mengangkat tangan bersama-sama Ahli Parlimen pembangkang
menolak Bajet itu atau menghilangkan diri secara beramai-ramai ketika
hari pengundian dilakukan.
Pilih saja yang mana selesa.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan