shahbudindotcom
Muhyiddin
Yassin menghangatkan kembali isu 1MDB dengan terus melontarkan
persoalan yang sebenarnya hanya mampu dijawab oleh Najib Razak sendiri -
kenapa campur dalam siasatan?
Berucap
dalam program Bicara Minda - Berani Kerana Benar di Johor Bahru
semalam, selain membangkitkan perkara tentang 1MDB seperti pinjaman RM3
bilion yang mahu dipohon, menerima pinjaman RM2 bilion daripada usahawan
Ananda Krishnan dan sebagainya, beliau turut menyatakan proses siasatan
terhadap syarikat pelaburan strategik itu tidak seharusnya diganggu
jika tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Katanya, orangramai hanya ingin melihat siasatan terhadap syarikat itu berjalan dan kemudian mengetahui hasilnya.
Rakyat
hanya mahu proses siasatan dijalankan. Jangan campur, yang rakyat nak
tahu apa hasilnya. Kalau tak bersalah, tak bersalahlah. Jika bersalah,
kita hukum, tambah beliau lagi.
Muhyiddin
yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya mengingatkan bahawa yang
hak akan timbul, manakala yang batil tetap akan tenggelam lambat
launnya.
Apa
yang dibangkitkan oleh Muhyiddin ini tentunya mengenai apa yang berlaku
tempohari ketika proses siasatan terhadap 1MDB sedang berjalan yang
antaranya, pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, gangguan dan
pertukaran serta merta beberapa pegawai SPRM ke Jabatan Perdana Menteri,
pasukan petugas khas tidak lagi berfungsi dan Jawatankuasa Kira-Kira
Awam Negara atau PAC "dilumpuhkan" dengan empat anggotanya dilantik
menganggotai pentadbiran kerajaan.
Semua
orang yang berfikiran sihat, waras serta masih dapat membezakan antara
putih dengan hitam, tentu saja melihat semua tindakan itu berupa
campurtangan atau gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan,
lebih-lebih sebelum itu beberapa tangkapan dan serbuan terhadap beberapa
individu yang dipercayai boleh membantu siasatan, sudah pun dilakukan
oleh SPRM.
Antaranya
yang kena tahan itu ialah Dr Shamsul Anwar Sulaiman, ECO Ihsan Perdana,
sebuah anak syarikat 1MDB serta seorang despatch.
Namun,
selepas semua campurtangan itu, kita bukan saja tidak mendengar lagi
pasukan petugas khas bermesyuarat, bahkan apa jadi kepada beberapa
individu yang pernah ditangkap juga tiada khabar beritanya. Semuanya
senyap belaka.
Najib
pula tidak pernah membuka mulut mengenai kewajaran semua tindakan itu
diambil. Kenapa beliau masih diam, adakah kerana tiada jawapan atau
masih memerlukan masa lagi untuk mengolah jawapannya yang sesuai?
Mengenai
Gani Patail yang dilaporkan disingkirkan kerana masalah kesihatan,
hanya Tun Mahathir yang kerap mempersoalkannya dengan beberapa hari
sebelum ini menanyakan kepada kerajaan agar menunjukkan sijil sakit
bekas Peguam Negara itu.
Namun, sehingga hari masih juga tiada sesiapa mampu memberi jawapan mengenainya.
Kini,
dengan Muhyiddin sendiri sudah secara terbuka mengatakan, "kalau tak
bersalah, jangan campur dalam siasatan", Najib juga secara
"gentlemannya" tiada lagi pilihan selain memberi respon dan jawapan
kepada persoalan itu.
Jika
tidak dijawab atau diberi penjelasan, selagi itulah keraguan akan terus
membuak-buak, sekaligus membentuk persepsi buruk terhadap dirinya.
Hanya
Najib yang mampu dan sesuai memberi jawapan kepada persoalan itu kerana
beliau yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB yang sedang disiasat
itu.
Bukan
Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara atau
sesiapa yang lainnya perlu campurtangan menjawab persoalan tersebut.
Jika
terus dibiarkan tidak dijawab, campurtangan sebagaimana yang
digambarkan Muhyiddin itu akan dilihat hanya untuk menutup kesalahan
atau mengesahkan memang ada kesalahan yang cuba dilindungi.
Meskipun siasatan dikatakan masih berjalan, ia barangkali tidak sama lagi dibawah Peguam Negara serta Pengerusi PAC yang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan