BERNAMA
Senthuran menjangkakan perniagaan mungkin mengambil masa enam bulan lagi untuk menyelaras sepenuhnya kepada GST.
KUALA LUMPUR, Malaysia akan mengalami defisit belanjawan yang ketara, jika kerajaan tidak mengambil langkah melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Pemimpin Pasaran dan Pelanggan Cukai
Tidak Langsung Asia Pasifik bagi Deloitte dan Pengarah GST di Deloitte
Malaysia, Senthuran Elalingam berkata, ini jelas kerana Malaysia
bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak dan komoditi yang mengalami
penurunan harga mendadak lebih 50 peratus daripada paras US$100 setong
pada 2014.
“Ia (GST) adalah satu langkah perlu dan
penting, memandangkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini
tidak efisien dan kutipan cukai lemah,” katanya kepada Bernama.
Dalam pengumuman Bajet 2016, Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, jika SST dikekalkan, kutipan
setakat RM18 bilion, berbanding hasil GST sebanyak RM39 bilion.
Perdana Menteri berkata, defisit fiskal akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan sasaran 3.1 peratus pada 2016.
Senthuran berkata, memandangkan
perniagaan telah semakin biasa dan mematuhi GST, ia akan menjadi lebih
mudah bagi mereka menjalankan perniagaan tanpa gangguan.
“GST masih agak baru dan semua orang
masih belajar mengenainya, tetapi kami melihat interaksi positif dengan
Jabatan Kastam, kerana mereka menjadi lebih toleran dengan perniagaan
yang cuba untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau menjangkakan perniagaan mungkin
mengambil masa enam bulan lagi untuk menyelaras sepenuhnya kepada GST,
dengan pengecualian kepada farmaseutikal, pembangunan hartanah dan
industri insurans, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan
perniagaan masih menghadapi beberapa komplikasi.
Senthuran juga positif terhadap
pengumuman Perdana Menteri, bahawa kerajaan tidak akan mengenakan GST ke
atas beberapa barangan keperluan, termasuk ubat-ubatan dan makanan,
dengan menyatakan hasratnya ialah untuk meminimumkan kesan ke atas isi
rumah berpendapatan sederhana dan rendah.
“Saya menjangka lebih banyak pihak boleh
meminta barang berkadar sifar, tetapi kerajaan perlu bersikap memilih
dan menumpukan kepada siapa yang mereka mahu mendapat manfaat dan
memberikan bantuan,” kata beliau.
Turut bersetuju dengan pandangan itu
ialah Presiden Persatuan PKS Malaysia, Michael Kang yang menyokong
pelepasan GST ke atas pengimportan semula barang yang dieksport secara
sementara, bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran.
“Kami berharap kerajaan akan menggalakkan
lebih banyak transaksi perniagaan bagi merangsang ekonomi dan membantu
PKS menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan menarik lebih banyak
pelancong asing ke negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, Kang berkata, langkah untuk
menaikkan lingkungan pendapatan boleh cukai daripada 25 peratus kepada
26 peratus, bagi mereka yang mempunyai pendapatan antara RM600,000 dan
RM1 juta, serta mereka yang berpendapatan melebihi RM1 juta kepada 28
peratus daripada 25 peratus, boleh menjejaskan tabiat perbelanjaan
mereka.
“Oleh kerana GST berdasarkan penggunaan,
ini mungkin mengurangkan aliran tunai ke dalam pasaran, kerana mereka
akan berhati-hati dalam perbelanjaan, sekali gus mengurangkan kutipan
GST dan hasil kerajaan,” kata Kang.
Di samping itu, beliau juga berharap
kerajaan akan terus menyediakan bantuan perkakasan dan perisian untuk
PKS, melanjutkan lagi tempoh pembelajaran dan penyerahan pemfailan GST.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan