PUTRAJAYA: Akta Hasutan 1948 adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan hari ini.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim
memaklumkan bahawa perlembagaan dirangka supaya undang-undang sedia ada
adalah sah dan terus sah untuk dikuatkuasakan.
Kes pensyarah Dr Azmi Sharom menjadi fokus banyak pihak memandangkan
beliau menjadi pendulu kepada dakwaan ahli-ahli politik pembangkang dan
aktivis di bawah Akta Hasutan.
Azmi mendakwa kes tersebut mencabuli Artikel 10 Perlembagaan
Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara serta tidak digubal di
Parlimen.
Pensyarah undang-undang itu pada 2 September tahun lalu didakwa di
mahkamah bersabit kenyataannya mengenai krisis Perak 2009 dan kaitannya
dengan krisis menteri besar Selangor yang disiarkan sebuah portal.
Artikel berkenaan bertajuk "Take Perak crisis route for speedy end to
Selangor impasse, Pakatan told" (Ambil jalan krisis Perak selesaikan
segera kebuntuan Selangor, Pakatan diberitahu, dilaporkan The Malay Mail
Online pada 14 Ogos).
Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b), yang jika sabit kesalahan
boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan